Kerusi, meja sisi dan lampu adalah antara perabot yang direka bentuk berpandukan motif kuih, antaranya karipap, kek lapis, kuih nona, bahulu, kuih peneram dan roti jala.

Dengan berkonsepkan KUEH (Contemporary, Urban, Enculturation, Homestyle), perabot itu dipamerkan pada Export Furniture Exhibition (EFE) yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di ibu negara yang turut disertai 300 syarikat yang mempamerkan produk masing-masing.

Pensyarah dan penyelidik dari Jabatan Rekabentuk Perindustrian FRSB, Prof. Dr. Khairul Aidil Azlin Abd. Rahman berkata, kuih menjadi motif reka bentuk kerana ia boleh menjadi ikon atau identiti Melayu dan Malaysia.

“Kita kaya dengan budaya dan kita mempunyai pelbagai jenis kuih-muih, ia boleh diketengahkan melalui reka bentuk perabot bagi membezakan identiti perabot kita dengan perabot masyarakat atau negara lain,” katanya.

Katanya, apabila konsep KUEH itu diterjemahkan ke dalam bentuk perabot, ia akan menjadi ikon yang menyeronokan kerana ia sesuatu yang menarik dan dapat mengimbas kembali pengalaman yang dilalui seseorang.

“Secara tidak langsung, produk ini boleh memperkenal budaya dan menaikkan nama Malaysia di luar negara,” katanya.

Pameran tersebut dirasmikan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Mah Siew Kong.

Beliau yang menghasilkan kerusi Karipap Ottoman berkata, kusyen kerusi itu diperbuat daripada fabrik jenis velvet yang lembut bagi mewujudkan keselesaan.

Kerusi itu, menurutnya sesuai diletakkan di ruang istirahat atau lounge. Ketua Jabatan FRSB, Prof. Madya Dr. Nazlina Shaari pula mereka bentuk kerusi Nona Manis mengambil motif kuih Nona.

Ia diperbuat daripada kayu Nyatuh dan felt wool blend. Bahagian tengah kerusi itu boleh dibuka yang akan menjadikannya sebagai satu meja dan satu bangku.

Pelajar FRSB, Nursyazana Osman pula menghasilkan meja sisi Lapees yang mempunyai laci mengambil konsep Kek Lapis yang terkenal di Sarawak. Ia diperbuat daripada papan lapis, kayu getah dan zebra veneer.

“Saya mengambil konsep Kek Lapis, dan mengubah suai konsep itu untuk menjadikan bentuk meja yang bulat,” katanya.

Pelajar Program Pengajian Rekabentuk dan Perindustrian, Ezran Zainal pula menghasilkan Rocking Chair mengambil konsep jalur kuih bahulu.

Kerusi itu yang diperbuat daripada kayu getah dan diperindah dengan corak lukisan, dan adalah untuk kanak-kanak.

Pensyarah Jabatan Senibina FRSB, Mohd Azli Mohamad Jamil pula menerapkan idea empat lubang yang terdapat pada kueh Peneram dalam menghasilkan kerusi Peneram Azli dengan elemen kuih itu diperlihat pada tempat duduk dan tempat sandar kerusi.

“Kerusi ini selesa diduduk, tahan lasak dan sesuai diletakkan di ruang rehat rumah atau di hospital. Ia boleh berfungsi tanpa kusyen, manakala kusyennya juga boleh ditukar,” katanya.

Menurutnya, kerusi itu diperbuat daripada papan lapis Nyatuh, manakala kusyennya daripada span densiti tinggi yang dilapik dengan fabrik kapas.

Pensyarah kanan Jabatan Senibina Landskap FRSB, Dr. Mohd Yazid Yunos dan pelajar Senibina Lanskap, Mohd. Amirul Hussain pula bergabung menghasilkan lampu gantung Jala Light mengambil konsep kuih roti jala.

Wayar termasuk wayar aluminium dengan ketebalan yang berbeza dibentuk seperti roti jala dan diletakkan di bahagian atas mentol lampu. Apabila lampu dipasang, ia menghasilkan bayang-bayang bercorak jala dan suasana yang estetik.

“Ia membawa konsep terapeutik untuk berehat serta memberi ketenangan melalui bayang-bayang yang terhasil,” kata Dr. Mohd Yazid.

Sementara itu sebuah bangku dengan kusyen berbentuk karipap yang dipamerkan antara produk yang mendapat permintaan tinggi dengan lebih 1,000 tempahan diterima pada hari pertama pameran itu, Khamis lepas.

Pengarah pameran UPM, Abdul Rapizam Abd Razak berkata, bangku yang dijual dengan harga RM1,200 sebuah itu, merupakan antara bangku berbentuk pelbagai kuih-muih tradisional tempatan yang berjaya menarik minat pembeli dari Jepun, Sri Lanka dan Indonesia.

Beliau berkata, selain itu, UPM turut mengetengahkan kerusi, meja kopi dan terendak lampu yang juga menggunakan konsep kuih tradisional Malaysia seperti roti jala, kuih lapis, kuih peneram, nona manis, bahulu, kuih kemboja, kuih manja dan kuih ros.

“Ia merupakan cetusan idea lapan pensyarah Fakulti Reka Bentuk dan Seni Bina UPM, dan idea ini muncul selepas pihak fakulti membuat kajian pasaran bagi menyuntik elemen kelainan dalam produk mereka,” katanya.

Masa depan industri perabot cerah dibantu 

Penganjuran program Export Furniture Exhibition (EFE) dilihat sangat signifikan dalam menonjolkan keupayaan dan kreativiti pereka tempatan.

Hal ini kerana Malaysia sudah lama terkenal sebagai pengeksport perabot dengan nilainya sentiasa meningkat saban tahun.

Perkara itu diakui Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Kong yang merasmikan pameran berkenaan berkata, eksport produk perabot Malaysia meningkat kepada RM9.53 bilion pada 2016, naik 4.2 peratus daripada RM9.14 bilion pada 2015.

Beliau berkata, angka itu dijangka boleh ditingkatkan kepada RM12 bilion menjelang 2020.

“Perabot kayu menyumbang 80 peratus daripada jumlah itu,” katanya, sambil menambah sehingga kini, perabot buatan Malaysia dieksport ke lebih 160 negara.

Malaysia mempunyai kedudukan pasaran yang kukuh di Amerika Syarikat, Jepun dan Australia. “Kita juga mencatatkan pertumbuhan besar di pasaran United Kingdom, China, Emiriah Arab Bersatu dan Arab Saudi,” katanya.

Beliau berkata, industri perabot antara kluster yang berjaya dalam kalangan industri kecil dan sederhana (IKS) ketika ini. Dalam masa yang sama katanya, industri perabot tempatan juga menyumbang kepada pembangunan tenaga bekerja berkemahiran.

Katanya, Malaysia terletak dalam kedudukan negara kelapan terbesar sebagai pengeksport pada peringkat global.

Walau bagaimanapun katanya tidak ada istilah tidak berbuat apa-apa sebaliknya perlu meneroka peluang- peluang baharu di negara rantau ASEAN, China dan India.

“Permintaan daripada negara-negara ini akan terus meningkat sejajar dengan pertumbuhan dan peningkatan jumlah kelas pertengahan di sana,’’ ujarnya.

Kata beliau lagi, keadaan ekonomi global akan terus mencabar pada tahun ini.

Industri perabot kata beliau perlu terus bertahan dan menghasilkan produk yang inovatif dan berorientasikan pasaran.

Kerajaan akan membantu pembangunan industri perabot supaya lebih kompetetif.

Antara inisiatif yang diwujudkan bagi membantu industri itu adalah Pusat Reka bentuk Tanggam (TDC) yang berfungsi sebagai hab bagi pereka muda dan juga industri bekerjasama mempromosi perabot tempatan.

Satu lagi inisiatif adalah Program Pereka Bentuk Profesional (PDP) yang bermatlamat memberi peluang kepada pereka muda menghasilkan perabot unik dan berkualiti.