Hal demikian kerana KGK memainkan peranan penting dalam menentukan kadar harga serta kualiti getah yang terhasil bermula dari ladang sehingga ke kilang.

Tiada suatu alat khas yang dapat menentukan KGK secara tepat dan pantas sehinggalah munculnya RRImeter hasil inovasi sekumpulan penyelidik Lembaga Getah Malaysia (LGM).

Menurut Timbalan Pengarah (Inovasi dan Penyelidikan) LGM, Dr. Zairossani Mohd. Nor, tidak dinafikan terdapat pelbagai kaedah penentuan KGK yang dibangunkan oleh agensi tersebut sebelum ini tetapi memiliki kekangan tertentu.

Jelasnya, kaedah yang sedia ada memerlukan tempoh yang panjang, kos operasi dan penyelenggaraan yang tinggi, prosedur yang rumit serta memerlukan kakitangan yang terlatih.

“Walaupun kaedah piawai penentuan KGK telah dibangunkan dan diiktiraf oleh badan tertentu namun keperluan analisis yang menitikberatkan faktor kecepatan ujian dan laporan, ketepatan, ujian yang ringkas serta kos yang rendah amat diperlukan.

“Lebih penting peralatan tersebut dapat dikawal selia oleh LGM bagi mengelakkan sebarang usaha menyalahgunakan kemudahan atau manipulasi sistem tersebut,” katanya.

Bercerita lebih lanjut, Dr. Zairossani berkata, RRImeter merupakan kaedah analisis alternatif berasaskan teknologi NIR (Near Infrared) bagi menangani keperluan pengguna bagi menentukan kandungan KGK.

NIR merupakan teknologi yang banyak digunakan dalam aplikasi pengimejan molekular, analisis farmaseutikal dan organik kimia, bioteknologi dan pelbagai lagi bidang.

Pada masa kini, terdapat pembuat mesin instrumen analisis menggunakan kelebihan dan keunikan NIR dalam menghasilkan alat yang boleh digunakan untuk mengenal pasti serta menentukan kuantiti unsur yang terdapat dalam spesimen.

“Teknologi ini bukan sahaja dapat memberikan kadar bacaan yang tepat dan pantas malah tidak menggunakan sebarang bahan kimia,” katanya.

Lebih penting tambah Dr. Zairossani, menerusi RRImeter juga kini tidak memerlukan kakitangan yang berkemahiran tinggi untuk mengoperasikannya.

Penggunaan teknologi NIR membolehkan RRImeter menentu dan mengesan secara terus hidrokarbon yang terdapat di dalam sampel yang mampu memberikan kandungan sebenar KGK.

Peranti itu bukan sahaja mampu menentukan KGK getah cair dan getah bekuan, malah aplikasi yang sama boleh digunakan untuk menentukan kandungan unsur-unsur lain yang terdapat di dalam getah tersebut.

Kajian selama dua tahun yang bermula pada tahun 2014 itu kini membuahkan hasil apabila berjaya menguji hampir 5,000 sampel dan kini sedia dikomersialkan.

Bagi tujuan tersebut, aktiviti kalibrasi (penentu ukur) menggunakan RRImeter sedang giat dilaksanakan bagi menentukan kandungan protein dan quebrachitol di dalam getah dan diikuti dengan pelbagai kandungan unsur dan sebatian mengikut keperluan industri.

Pada masa kini, peranti berteknologi NIR seperti yang dicadang telah digunakan secara meluas di seluruh dunia.

Sebagai contoh, pengilang besar berasaskan agrikultur telah menggunakan teknologi tersebut bagi penentuan kandungan unsur produk, kawalan kualiti, pemantauan produktiviti dan pelbagai lagi.

RRImeter bersama aplikasi teknologi NIR menawarkan penambahbaikan kaedah penentuan KGK, akses pemantauan dan penentu ukuran secara dalam talian dan sistem laporan secara integrasi.

Hal demikian sekali gus dapat mengawal manipulasi dan ketirisan pihak yang tidak bertanggungjawab.

Kini, RRImeter telah sedia untuk dikomersialkan secara besar-besaran oleh LGM menerusi kerjasama dengan sebuah syarikat dari luar negara dan dipasarkan oleh Matrix Analytical Solution Sdn. Bhd. yang merupakan ejen kepada pengeluar tersebut.