Sekumpulan penyelidik daripada Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya (UM) telah menghasilkan satu inovasi yang mampu menghalang kekakuan atau kontraksi kekal pada sendi jari selepas trauma.

Jabatan Kejuruteraan UM merupakan antara lima jabatan yang terdapat di fakulti berkenaan dan terlibat dengan beberapa segmen penyelidikan berkaitan perubatan.

Antara kajian yang pernah dijalankan antaranya termasuklah mereka bentuk dan menghasilkan platform cakera padat untuk pengesan virus denggi, kajian asas mengenai tendon dan kejuruteraan injap tisu jantung.

Kajian lain termasuklah kaedah baharu untuk menghasilkan perancah tiga dimensi (3D) daripada membran amniotik manusia untuk aplikasi kejuruteraan tisu tulang.

Ketua kumpulan penyelidik tersebut, Prof. Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman berkata, walaupun alat bantu regangan untuk jari telah sedia ada di pasaran, namun inovasi yang dihasilkan itu membenarkan regangan dibuat untuk lebih dari satu jari pada masa yang sama.

“Inovasi ini menyediakan satu mekanisme yang mudah bagi jari-jari yang tercedera untuk diregangkan pada daya yang ditetapkan oleh pakar perubatan pemulihan, agar jari-jari tersebut kembali mencapai julat pergerakan jari yang normal,” jelasnya ketika ditemui.

Beliau berkata, alat bantuan itu juga menawarkan kestabilan tambahan kepada jari yang cedera dengan menetapkan jari yang cedera kepada komponen alat dengan kukuh menggunakan skru.

Ini secara tidak langsung melindungi jari daripada pergerakan yang tidak disengajakan atau mendadak,seperti pelanggaran fizikal dengan objek yang boleh memburukkan lagi kecederaan.

Sementara itu, menurut seorang ahli kumpulan penyelidik tersebut Herman Shah Abd. Rahman, selain kelebihannya yang mampu digunakan untuk berbilang jari, alat tersebut juga direka untuk digunakan pada berbilang sendi.

“Setiap satu sendi yang terlibat pada jari yang tercedera boleh dilaraskan pada daya yang tertentu, bergantung pada tahap kecederaan dan tahap rawatan pemulihan yang diperlukan,” ujarnya.

Prosedur menggunakan alat ini juga mudah, dan boleh dilakukan oleh jurupulih anggota tanpa latihan khusus yang panjang.

Pelarasan sudut alat ini boleh dibuat secara tepat di antara 0 hingga 60 darjah, dan mampu mengelakkan kecederaan pada tendon di sendi yang terlibat.

Hasil penyelidikan ini pernah memenangi anugerah antarabangsa di Pameran Reka Cipta British (BIS) , dan reka bentuk alat ini telah pun dipatenkan. Kumpulan penyelidik tersebut juga sentiasa mengalukan kerjasama dengan mana-mana institusi kesihatan yang menawarkan rawatan pemulihan.

Alat ini boleh didapati pada harga sekitarRM 3,000. Maklumat lanjut mengenai inovasi dan penyelidikan ini boleh didapati daripada Herman Shah Abd. Rahman di [email protected]