Menerusi program MSI itu, mereka menerima sumbangan 10 unit bot nelayan pantai berkuasa 40 kuasa kuda yang dilengkapi dengan teknologi terbaharu, penjana gas Syn-Hybrid yang bernilai kira-kira RM300,000 kesemuanya dari Technology Park Malaysia Corporation Sdn. Bhd (TPM).

Inovasi tersebut dibangunkan oleh syarikat tempatan yang juga inkubasi kepada TPM, iaitu Amiran Technology Sdn. Bhd. Pemasangan dan uji kaji sistem ini juga melihatkan kerjasama antara anak syarikat TPM, TPM Engineering Sdn. Bhd.

Sebanyak 10 unit bot tersebut telah disampaikan oleh Timbalan Menteri MOSTI, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah kepada Pengerusi Komuniti Keluarga Nelayan Tanjung Kling, Khairul Azni yang disaksikan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TPM, Datuk Ir. Mohd. Azman Shahidin.

Menurut Mohd. Azman, pemasangan sistem penjana gas Syn-Hybrid akan menawarkan alternatif penjanaan tenaga yang lebih lestari berbanding dengan bahan api fosil.

Beliau berkata, bot nelayan komersial yang dilengkapi dengan teknologi hijau inovatif itu juga membolehkan nelayan menikmati kelebihan ekonomi dengan memperoleh kelebihan daya saing, penjimatan kos bahan api, serta produktiviti yang lebih tinggi.

“Berdasarkan ujian yang dijalankan oleh Amiran Technology, nelayan bakal menikmati penjimatan kos antara 20 dan 30 peratus sehari, atau kira-kira RM250 hingga RM500 sebulan. Penjimatan sedemikian pada bahan bakar dapat disumbang semula kepada komuniti ini untuk menampung kos operasi dan penyelenggaraan,” ujar beliau.

Teknologi penjana gas Syn-Hybrid dibangunkan oleh Amiran Technology yang menghasilkan produk berinovasi teknologi 
hijau berasaskan tenaga diperbaharui (RE) bagi penjanaan bahan bakar alternatif secara hibrid bersama bahan bakar 
sedia ada seperti minyak petrol dan diesel.

Campuran bahan bakar gas oksigen dan hidrogen ke dalam kebuk enjin bot dapat meningkatkan pembakaran maksimum bahan api petrol atau diesel, sekali gus meningkatkan keupayaan tenaga tork serta meningkatkan jarak perjalanan bot.

Produk hibrid tersebut menggunakan air yang ditapis atau disuling melalui proses elektrolisis nano untuk pemecahan molekul air menjadi gas oksigen dan hidrogen.

Gas hibrid yang dijanakan ditapis serta dimagnetkan bagi memberi tenaga simpan yang padu untuk disalurkan menerusi saluran injap masuk udara ke kebuk enjin.

Setiap saluran gas dipasangkan injap sehala bagi tujuan keselamatan serta pulse witdh modulator bagi menjamin arus tenaga keperluan proses nanoelektrolisis tidak melampaui had yang ditetapkan.

Sistem pam kitaran air dipasang bagi kesempurnaan kitaran air di dalam proses nanoelektrolisis untuk menghindari pemanasan terlampau.

Sementara itu, menurut Dr Abu Bakar, projek MSI itu sebahagian daripada cadangan inovasi yang boleh meningkatkan taraf kehidupan komuniti nelayan dengan penggunaan enjin bot inovas baharu itu.

Penjimatan sehingga 45 peratus

Pereka cipta inovasi sistem penjana gas Syn-Hybrid, Amir Ahmad berkata, pada awalnya beliau membangunkan inovasi tersebut dengan sasaran penjimat penggunaan bahan bakar hanya antara 20 hingga 30 peratus sahaja

“Walau bagaimanapun, hasilnya lebih baik sehingga mampu mencapai (penjimatan) 45 peratus,” ujarnya.

Justeru beliau yang juga Presiden dan Ketua Pegawai Teknikal Amiran Technology Sdn. Bhd., bercadang untuk meluaskan penggunaan teknologi tersebut kepada sektor bot perikanan dan bot pelancongan di seluruh negara pada masa akan datang memandangkan impak penjimatan kepada subsidi bahan bakar agak tinggi.

Beliau berkata, sistem tersebut berguna bagi penjanaan partikel hidrokarbon sifar seterusnya pengurangan pelepasan gas karbon dioksida kepada sehingga 20 peratus.

Sistem tersebut juga mengekalkan proses pembersihan karbon yang berterusan dalam kebuk enjin.

Beliau berkata, kemajuan aplikasi sistem tersebut dapat mengurangkan bebanan penggunaan minyak petrol dan diesel daripada antara 30 peratus hingga 50 peratus bergantung kepada variasi beban muatan dan kapasiti enjin selain mesra alam.

Beliau berkata, pembangunan inovasi tersebut bermula sejak 2010 dan ditambah baik kualitinya dari semasa ke semasa hingga ke hari ini.

“Produk ini disiapsiagakan bagi pengkomersialan di arena antarabangsa dengan permintaan yang sangat menggalakkan dengan permasalahan isu harga minyak, pemanasan global dan perubahan cuaca sedunia yang tidak menentu,” ujarnya.

Produk berdimensi kompak dengan bahan berkualiti tinggi menggunakan bahan tebat elektrik dan antikarat bagi badan produk serta menggunakan aloi titanium dan besi tahan karat berkualiti tinggi di dalam struktur reka bentuk dinamik magnetik nanoelektrolisis.

Penggunaan air elektrolit, Syn-Hybrid mampu bertahan sehingga 15,000 kilometer nautika bagi setiap pertukaran penambahan air elektrolit yang baru dengan jangka hayat produk sehingga minumum lima tahun.

Beliau menambah, meskipun idea pembangunan inovasi tersebut tercetus pada 2015, ia hanya dapat direalisasikan pada Ogos lalu menerusi program MSI.

“Tujuannya untuk dipasang pada bot persisiran pantai yang bermanfaat kepada komuniti nelayan iaitu bagi membantu mengurangkan masalah bebanan sara hidup memandangkan penggunaan bakan bakar yang tinggi.