Justeru, pelbagai mekanisme bagi mengurangkan masalah pencemaran khususnya pembebasan gas hidrokarbon telah dilaksanakan oleh pelbagai pihak terutama pemain industri yang terlibat.

Salah satunya adalah syarikat tempatan bumiputera iaitu Amiran Technology Sdn. Bhd. (Amiran Technology) yang berjaya mencipta produk inovasi mesra alam dikenali Oxy-Hydro Fuel Cell model GX-300.

Produk berkenaan telah direka khusus untuk kenderaan dan enjin di bawah 3000 cc seperti kereta, pacuan empat roda, selain penjana elektrik tenaga mudah alih (generator) dan bot pesisir pantai, sekali gus dapat menjimatkan penggunaan bahan api seperti petrol dan diesel.

Presiden Amiran Technology, Amir Ahmad berkata, inovasi berasaskan tenaga diperbaharui itu hanya menggunakan air bertapis atau air mineral suling berkeupayaan menjana kuasa hidrogen-oksigen.

“Penjanaan kuasa hidrogen-oksigen ini dapat membantu pembakaran minyak di dalam kebuk enjin dengan sempurna dan memberi kuasa optimum, sekali gus menyahkan pembuangan hidro-karbon sifar menerusi sistem ekzos kenderaan.

“Produk tahan lasak ini berupaya mengurangkan pelepasan karbon dioksida (CO2) sehingga 80 peratus, meningkatkan daya tujahan (tork) dan lebihan kilometer perjalanan sehingga 30 peratus.

“Secara tidak langsung, inovasi ini sudah pasti dapat menyumbang kepada penjagaan alam sekitar yang jauh lebih baik berbanding produk sedia ada dalam pasaran,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis pelancaran Oxy-Hydro Fuell Cell di Technology Park Malaysia (TPM), Bukit Jalil, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan; Pengerusi Technology Park Malaysia, Datuk Ahmad Fauzi Zahari; Naib Presiden Pengurusan Perkhidmatan TPM, Shahazman Abu Samah; dan Pengarah Urusan Amiran Technology, Ali Sadiqin Mohamed Noor.

Dalam majlis yang sama, perjanjian kerjasama antara Amiran Technology dan SIRIM Berhad turut diadakan bagi memperkasa Oxy-Hydro Fuel Cell untuk dikomersialkan sebagai Model Ekonomi Tenaga Hijau Diperbaharui.

Kerjasama berkenaan akan merangkumi bidang hibrid Amiran Technology dan integrasi Sistem Produk Amiran Technology dengan sistem tangki gas asli termampat (CNG) SIRIM serta projek pemindahan teknologi solar KIS Japan-Amiran.

Dalam majlis yang sama, syarikat berkenaan membuat penyerahan inovasi berkenaan kepada TPM, Marlis Corporation (M) Sdn. Bhd., GiatMara Malaysia dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), bertujuan untuk mendapatkan testimoni aplikasi dan maklum balas berkenaan produk di peringkat organisasi masing-masing.

Sementara itu, menerangkan dengan lebih lanjut, Amir berkata, Oxy-Hydro Fuel Cell merupakan aksesori premium berasaskan teknologi hidrolisis air.

Teknologi tersebut berupaya menghasilkan gas hidrogen untuk menyokong pembakaran petrol, diesel atau gas asli kenderaaan (NGV) secara maksimum bagi menguasakan enjin.

“Suntikan oxy-hydrogen ke dalam enjin kenderaan tidak hanya menambah momentum dan kuasa kuda, bahkan ia dapat mengurangkan pembebasan hidrokarbon yang mencemar udara melalui ekzos.

“Hal ini kerana, ia terbakar dengan lebih cepat dan bersih berbanding petrol atau diesel dan menjadikan kenderaan lebih lancar, sejuk dan cekap berbanding sebelumnya,” ujarnya.

Katanya lagi, oxy-hydrogen akan mengurangkan penggunaan minyak dengan cara memaksa pembakaran berlaku dengan lebih sempurna selain membantu membersihkan sisa karbon di dalam enjin sementara pembebasan emisi cuma air tulen.

Oleh demikian, pengguna akan dapat menjimatkan wang, minyak dan paling penting alam sekitar.

Manfaat untuk semua pihak

Sebagai syarikat inkubatee TPM dan penerima Sijil Projek Hijau kategori Pengeluar oleh Greentech Malaysia dan Kementerian Teknologi, Tenaga Hijau dan Air (KeTTHA), selain menerima status perintis dari Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Amira Technology yakin produk yang dihasilkannya dapat memberi manfaat kepada semua pihak.

Menurut Amir Ahmad , manfaat utama sudah pasti dapat dinikmati pengguna dari segi penambahbaikan sistem otomotif dan penjimatan secara terus minyak petrol atau diesel.

Secara tidak langsung, ia dapat mengurangkan beban sara hidup yang bertambah meningkat tanpa melibatkan bantuan daripada mana-mana pihak lain.

“Seterusnya adalah manfaat untuk alam sekitar kerana teknologi ini mampu mengurangkan pelepasan partikel hidrokarbon dan karbon dioksida, sekali gus dapat membentuk ekosistem yang lebih baik untuk kesihatan rakyat.

“Bukan itu sahaja, bagi sektor agrikultur, perladangan dan perikanan, kerajaan akan berupaya menjimatkan kos subsidi sehingga 15 peratus atau lebih, di samping dapat mengurangkan perbelanjaan pengurusan seperti penggunaan tenaga dan bahan api oleh jabatan dan agensi kerajaan.

“Bagi aspek sosial dan ekonomi pula, pengkomersialan teknologi ini mampu menambah peluang pekerjaan dan perniagaan.

“Hal ini kerana kami menyasarkan sehingga 5,000 peluang pekerjaan menerusi projek ini,” katanya.

Tambahnya, peluang itu juga membuka ruang untuk individu agar dapat menjadi vendor, kontraktor dan usahawan dalam bidang berkaitan dengan melayari www.amirantech.com.my.

Faedah lain yang turut diperoleh melalui pembangunan bersama teknologi antara Amiran Technology dan SIRIM Berhad adalah penambahbaikan produk menerusi integrasi dan sistem pengurusan operasi, jaminan terhadap kualiti dan keselamatan produk, persediaan untuk piawaian kualiti eksport dan penglibatan secara langsung dalam penerokaan bidang solar termal dan solar hibrid.

Sejak diperkenal dalam pasaran pada penghujung tahun lalu, inovasi tempatan dari syarikat itu telah terjual sebanyak 1,500 unit.

Presiden Amiran Technology, Amir Ahmad berkata, syarikatnya menyasarkan untuk menjual sebanyak 2,000 unit sebulan Oxy-Hydro Fuel Cell model GX-300 menjelang akhir tahun ini.

“Sehingga kini, kami menerima permintaan daripada beberapa negara seperti Indonesia, Thailand dan Kemboja dengan semua negara ini dijangka memasarkan produk pada pertengahan tahun ini.

“Syarikat memfokuskan pasaran dalam ASEAN pada ketika ini kerana impak harga minyak dalam pasaran rantau tersebut agak ketara selain akan membuat perkongsian strategik untuk mempelbagaikan produk pada masa akan datang,” 
ujarnya.

Katanya, Amiran Technology akan terus melebarkan sayap dalam bidang teknologi hijau dengan meluaskan produk dalam sektor perindustrian dan perladangan serta penglibatan lebih terperinci dalam sektor perikanan yang menggunakan bot laut dalam.

Selain itu, kata beliau syarikatnya juga telah menandatangani perjanjian perkongsian dan kerjasama dengan pihak KIS Inc. Japan untuk berkongsi teknologi dalam pembangunan sistem solar hibrid.

“Kami juga akan membuka kilang pemasangan panel solar dalam tempoh 10 bulan lagi.

“Perjanjian pembelian semula bernilai RM1.2 bilion (AS$300 juta) selama 10 tahun telah dipersetujui oleh kedua-dua belah iaitu Amiran Technology dan KIS Inc. Japan yang akan secara rasminya dimeterai di Jepun sebelum tamat suku kedua tahun ini,” katanya.