Dengan menerapkan inovasi sebagai nilai tambah ilham terhadap kreativiti dalam penghasilan sesuatu yang baharu, Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya (UM) dengan kerjasama Kolej Kediaman Tuanku Bahiyah, universiti berkenaan telah menganjurkan pertandingan inovasi peringkat kebangsaan yang dinamakan Beyond Engineering Innovation Challenge (Begin Challenge) di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Untuk kali ketiga penganjuran Begin Challenge tahun ini, Bahan Buangan Kepada Kegunaan Harian (Trash to Treasure) telah dipilih sebagai tema pertandingan kali ini.

Peserta yang terdiri daripada pelajar Tingkatan 4 dan 5 dari sekolah sekitar negara perlu mencipta prototaip atau produk baharu daripada bahan buangan (trash) untuk menghasilkan sesuatu yang boleh digunakan dalam kegunaan seharian (treasure).

Kira-kira 30 pasukan yang terdiri daripada sekolah berasrama penuh dan juga sekolah harian menengah sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Pulau Pinang, Terengganu dan Pahang telah menyertai pertandingan tersebut.

Setiap kumpulan yang bertanding telah dibimbing oleh seorang guru penasihat daripada sekolah masing-masing dan seorang mentor yang merupakan pensyarah dari Fakulti Kejuruteraan UM.

Penilaian prototaip atau produk yang dipamerkan oleh setiap pasukan di Menara Kejuruteraan UM telah dilakukan oleh pihak juri yang terdiri daripada staf akademik fakulti berkenaan yang berpengalaman luas dalam bidang kejuruteraan.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UM, Prof. Datuk Dr. Rohana Yusof dan Dekan Fakulti Kejuruteraan UM, Prof. Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman turut melawat ke setiap pameran prototaip oleh semua pasukan.

Sementara itu Dr. Rohana semasa lawatan memberitahu, setiap sekolah telah menunjukkan inovasi yang menarik dan berpotensi dengan hanya menggunakan bahan buangan terpakai.

“Prototaip yang dihasilkan amat membanggakan dan boleh digunakan dalam kehidupan seharian,” ujarnya.

Dalam pada itu, pasukan dari Sekolah Menengah Sains Alam Shah telah muncul sebagai juara dengan menghasilkan beg kertas daripada kulit buah kelapa tua. Pasukan tersebut yang terdiri daripada Muhammad Haziq Nor Shaiddan, Ammar Haziq Ahmad Rizauddin, Syed Ahmad Fattahuddin Syed Abd Ghani dan Danial Hakim Zaidi bersama mentor mereka, Dr. Raja Ariffin Raja Ghazilla.

Mereka bukan sahaja telah menarik perhatian juri malah turut menepati tema pertandingan dalam penghasilan produk mereka. Juara berjaya membawa pulang sejumlah wang tunai bernilai RM2,500 berserta pencetak 3D sumbangan Mycro Engineering Sdn. Bhd. dan sijil penyertaan.

“Kemenangan ini sungguh bermakna bukan sahaja memenangi wang tunai untuk sekolah, tetapi kami turut membawa pulang pencetak 3D,” ujar Ammar Haziq, 17, dari Sekolah Menengah Sains Alam Shah, Selangor.

Naib juara pula disandang oleh pasukan dari Sekolah Menengah Imtiaz Besut, Terengganu dengan produk mereka Oil Fertilizer, manakala tempat ketiga dimenangi Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Gombak, Selangor dengan produk mereka Mangoilsteen.

Naib juara dan tempat ketiga masing-masing membawa pulang wang tunai bernilai RM2,000 dan RM1,500 berserta pakej latihan pencetak 3D dan sijil penyertaan.

Untuk kategori Anugerah Inovasi Terbaik telah dimenangi pasukan dari SMK Bandar Tun Razak dengan produk mereka Biodegradable Spoon, manakala untuk kategori Anugerah Kegemaran Ramai dan Feasible Award masing-masing telah dimenangi pasukan SMK Bandar Banting yang telah menghasilkan Non-Chenical Deoderizer Powder dan SMT Tunku Abdul Rahman Putra dengan produk mereka I-Joint.

Muhammad Hasyim Hamid dari Sekolah Menengah Sains Alam Shah, Kuala Lumpur telah berjaya merangkul gelaran pembentang terbaik, membawa pulang piala dan sijil.

Kesemua hadiah telah disampaikan oleh Dr. Rohana Yusof, semasa majlis penutup Begin Challenge yang diadakan di sebelah petang hari pertandingan.