Bermula dengan kempen tersebut, pada tahun 2015, MPSepang telah menjalinkan kerjasama dengan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) untuk menghasilkan inovasi Aedes Bio-Based Fuel (ABBF) bagi membasmi nyamuk aedes.

Menerusi usaha berterusan kedua-dua pihak, projek inovasi berkenaan akhirnya menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book Of Record (MBOR) sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama yang menggunakan formulasi biodiesel untuk semburan kabut (fogging) bagi membasmi nyamuk aedes.

Yang DiPertua MPSepang, Datuk Puasa Md. Taib berkata, pengiktirafan yang diterima itu menjadikan MPSepang sebaris dengan pemegang rekod kebangsaan lain bawah kategori Sains dan Teknologi.

“Projek ini dibiayai MPSepang menerusi peruntukan dana sebanyak RM168, 000 dengan harapan agar dapat menjadi salah satu pendekatan strategik untuk meyakinkan semua pihak terhadap pengkomersialan produk penyelidikan dan pembangunan demi memulihara alam sekitar.

“Sehingga kini, uji kaji telah dijalankan di tiga lokasi iaitu Taman Dengkil Jaya, Dengkil; Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang; dan makmal FRIM sendiri untuk melihat keberkesanaan inovasi itu,” katanya dalam sidang media sempena Mesyuarat Ahli-ahli Majlis MPSepang baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Yang Dipertua MPSepang, Muhammad Hafiz Shaari; Penolong Pengurus MBOR, Ayman Izzaz dan Ketua Program Teknologi Biomas FRIM, Dr. Wan Asma Ibrahim.

Katanya, projek berkenaan mampu menghapuskan nyamuk aedes secara berkesan berbanding penggunaan diesel biasa dan berharap penggunaan teknologi ABBF itu dapat diperluas ke seluruh negara.

Sementara itu, Wan Asma berkata, menerusi inisiatif MPSepang itu, FRIM mula membuat formulasi untuk tujuan penyemburan dan kemudiannya menghasilkan inovasi yang boleh diguna pakai dalam alat semburan.

“Hasilnya, minyak masak terkumpul dapat dijadikan biodiesel dan seterusnya dapat digunakan sebagai pembawa bahan aktif (active ingredients carrier) mesra alam bagi alat semburan kabut pembasmi nyamuk.

“Bahan pembawa daripada sumber bio ini dapat mengurangkan kesan toksik kepada manusia jika dibandingkan dengan bahan pembawa dari diesel fosil, secara tidak langsung juga akan dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar.

“Hal ini kerana biodiesel tiada campuran bahan kimia seperti karbon dioksida, sulfir dioksida dan bahan-bahan beracun yang lain,” jelasnya.

Tambahnya lagi, antara kelebihan ABBF yang lain ialah, ia mampu menghasilkan pembakaran lebih lengkap, mudah terurai, asap yang dihasilkan tidak memedihkan mata dan lebih bersih.

Sementara itu, kos pengeluaran juga dapat dikurangkan kerana menggunakan minyak masak terpakai yang diperoleh daripada premis-premis makanan yang terpilih.

“Walau bagaimanapun, masih terdapat beberapa kekangan untuk memperluas lagi penggunaan teknologi inovasi ABBF ini apabila faktor utama adalah masalah bekalan minyak masak terpakai yang terhad iaitu hanya sebanyak 5000 kilogram sebulan.

“Justeru, usaha untuk mempromosikan inovasi ini akan dijalankan secara giat selain turut mengadakan sesi perbincangan bersama pihak berwajib seperti Kementerian Kesihatan dan institusi berkaitan agar penggunaannya dapat diperluas lagi ke seluruh negara,” katanya.

Menurut beliau secara purata setiap tan minyak masak terpakai menghasilkan sekurang-kurangnya 80 peratus ABBF.

Kerjasama tersebut sebenarnya telah dimulakan pada Oktober 2015 apabila FRIM memeterai memorandum perjanjian (MoA) dengan MPSepang untuk menjalankan Projek Inovasi ABBF di Cyberjaya. Ketika itu Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr Abd. Latif Mohmod mewakili Lembaga Penyelidikan dan Pembangunan Perhutanan Malaysia (MFRDB) dalam menandatangani dokumen perjanjian pada majlis pemeteraian perjanjian, sementara MPSepang pula diwakili Puasa.