Berdasarkan kenyataan beberapa orang penghuni premis, rata-rata mereka telah menggunakan racun serangga perosak yang mempunyai bahan kimia yang tinggi. Kesannya tidak memuaskan malah telah menimbulkan beberapa masalah kesihatan lain seperti sakit kepala, sesak nafas dan kerosakan pada kulit. Masalah ini tidak boleh berterusan dan memerlukan langkah-langkah yang sewajarnya.

Syarikat UMP EcoPest Sdn. Bhd. (UESB) yang merupakan sebuah syarikat terbitan Universiti Malaysia Pahang (UMP) telah mengambil inisiatif untuk mengeluarkan produk mesra alam, Pestkilla yang dihasilkan daripada pokok tuba (Derris elliptica).

Idea ini timbul apabila penyelidik Fakulti Kejuruteraan Awam dan Sumber Alam UMP, Abdul Syukor Abd. Razak menjalankan projek bekalan air bersih di kawasan perkampungan Orang Asli.

Beliau yang juga Pengarah Urusan UESB telah membuat beberapa pemerhatian mengenai cara hidup masyarakat Orang Asli. Salah satu pemerhatiannya adalah cara-cara menghalau serangga perosak di kawasan rumah Orang Asli tersebut dengan menggunakan pokok tuba yang kebiasaannya digunakan sebagai ubat penenang dan untuk menangkap atau melalikan ikan di sungai.

“Produk Pestkilla diformulasikan daripada bahan aktif rotenone yang diperoleh daripada pengekstrakan pokok tuba. Pestkilla merupakan produk mesra alam yang mampu menghalau serangga perosak seperti semut, lipas, lalat, nyamuk, charlie, bubuk, hama serta pepijat, termasuk lipan dan cicak. Produk ini juga sesuai untuk semburan pada meja makan, kabinet dapur dan kawasan tandas,” katanya yang turut mendapat bantuan daripada dua penyelidik lain iaitu Suryati Sulaiman dan Aimi lmar Ramli.

Daripada pemerhatian tersebut, kajian telah dijalankan selama tiga tahun iaitu daripada tahun 2013 hingga 2016 dan hasilnya sangat memberangsangkan sehingga terbitnya produk mesra alam Pestkilla yang mampu menghalau sepuluh serangga perosak iaitu semut, lipas, lalat, nyamuk, charlie, bubuk, hama, pepijat, termasuk lipan dan cicak.

Pestkilla, produk penyelidikannya menerusi produk Pytogreen dan Pisoptera yang merupakan produk mesra alam hasil diiktiraf dunia dan meraih kejayaan pada Pameran Reka Cipta British (BIS) di Barbican Exhibition Centre, London, baru-baru ini.

Produk berteknologi hijau ini terus mengorak langkah untuk dikomersialkan. UESB telah bekerjsama dengan syarikat UMP Holdings Sdn. Bhd dan UMP Technology Sdn. Bhd., untuk memastikannya menembusi pasaran global.

Dengan harga RM23 sebotol (500 ml), pengguna boleh mendapatkan Pestkilla menerusi ejen yang telah dilantik untuk menghalau 10 serangga perosak dengan menggunakan konsep Good Practice in Islam (GPI) yang diterapkan oleh pengarah urusan UESB dan perlu dipraktikkan oleh semua lapisan masyarakat.

Konsep tersebut menekankan hubungan baik sesama makhluk sama ada hubungan manusia dengan manusia dan juga manusia dengan haiwan. Dengan niat baik untuk menghalau serangga tersebut supaya tidak mengganggu kawasan premis, semburan Pestkilla haruslah dilakukan hanya pada laluan serangga dan perimeter premis sahaja. Pestkilla juga sesuai untuk semburan pada meja makan, kabinet, dan kawasan tandas.

Produk keluaran 100 peratus keluaran bumiputera ini terus mendapat pengiktirafan pada peringkat kebangsaan dan juga antarabangsa.

Baru-baru ini, produk Pestkilla telah diiktiraf sebagai Pengeksport Inovatif ASEAN oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) sempena program Pameran Perdagangan Sempadan ASEAN dan Generasi Pengeksport Baharu (GenEx) 2016 dengan kerjasama Generasi Muda Bersatu (GMB) Malaysia.

Menerusi program ini, produk Pestkilla akan dikomersialkan di beberapa buah negara lagi seperti Thailand, Indonesia, Singapura, Brunei, Jepun, China selain negara-negara yang telah mendapat tempat untuk dikomersialkan seperti Oman dan England.

Berdasarkan testimoni dan maklum balas oleh 2,000 orang pengguna, ternyata 99 peratus daripadanya mengatakan produk Pestkilla sangat berkesan untuk menghalau serangga perosak yang mengganggu kawasan rumah, pejabat, restoran, sekolah, masjid dan premis lain, selain selamat digunakan dan tidak bahaya kepada kanak-kanak kerana dihasilkan daripada bahan semula jadi dan tidak mengandungi bahan kimia tiruan.

Dengan moto Daripada Hijau kepada Antiserangga, Pestkilla mampu melangkah lebih jauh untuk memastikan tiada lagi masalah gangguan serangga perosak dengan menggunakan produk yang mesra alam ini.

Sekilas fakta kejayaan Pestkilla

  •  Pingat emas pada Pameran Reka Cipta Antarabangsa), pingat perak (Kategori Reka Bentuk) dan Anugerah Platinum (Kategori Alam Sekitar)
  •  Pingat Perak Pertandingan Ekspo Penyelidikan dan Teknologi Inovasi Kreatif (CITREX) 2015 dan 2016
  •  Pingat emas Festival Inovasi Antarabangsa Mengenai Teknologi Hijau (i-FINOG) 2016.