Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Inovasi 3D dapat perhatian

Anak muda hasilkan replika daripada pelbagai jenis haiwan

Siapa pun tidak menyangka kabel  plastik boleh dijadikan bahan 2
Siapa pun tidak menyangka kabel plastik boleh dijadikan bahan asas menghasilkan inovasi untuk menjana pendapatan.

Pengikat kabel plastik atau kabel tie biasanya digunakan untuk mengikat sesuatu barangan seperti beg plastik.

Inovasi seorang anak muda yang berfikiran di luar kotak dan kreatif berjaya menghasilkan pelbagai jenis replika berbentuk haiwan dan kenderaan untuk dijadikan perhiasan dengan menggunakan kabel tie.

Memulakan perniagaan secara kecil-kecilan dan sambilan sejak 2007, Mohd. Fadhli Mohd. Yusof, 31, dari Sungai Dua, Butterworth, Pulau Pinang menjadikan ciptaannya itu sebagai sumber pendapatan sampingan yang lumayan.

Dia menghasilkan replika berbentuk 3D dan 2D, yang dijadikan hiasan di cermin kenderaan, rantai kekunci dan koleksi bagi pengumpul replika kenderaan atau haiwan.

Anak kedua daripada empat beradik itu mendapat idea itu ketika melihat replika labah-labah berbentuk 2D yang diletakkan di cermin sebuah kenderaan sebelum melakukan pelbagai percubaan bagi menghasilkan replika tersebut.

Juruteknik di sebuah kilang di Prai, Pulau Pinang itu berkata, penghasilan replika berbentuk 3D menjadi pilihannya kerana ia menampakkan keseluruhan bentuk replika haiwan dan kenderaan.

“Pada mulanya saya terpaksa mengambil masa yang begitu lama untuk melakukan percubaan pertama menghasilkan replika labah-labah. Memang susah pada mulanya dan sekarang ini tidak sampai setengah jam saya boleh hasilkannya.

“Bentuk 3D lebih cantik kerana ia menampakkan keseluruhan replika yang dihasilkan itu. Sekarang saya mampu hasilkan pelbagai bentuk replika untuk mereka yang berminat,” katanya.

Mohd. Fadhli berkata, sehingga kini beliau mempunyai 17 jenis replika seperti labah-labah, kala jengking, udang, nyamuk, basikal, motosikal dan kereta kebal yang dijual antara RM5 hingga RM150.

Bagi menyiapkan sesuatu replika ia akan mengambil masa antara 30 minit hingga 3 jam dan ada sehingga satu hari seperti replika motosikal dan kereta kebal.

Mohd Fadhli berkata, walaupun jualan replika dibuat secara sambilan, beliau mampu memperoleh pendapatan sekitar RM300 hingga RM500 sehari, atau lebih RM2,000 sebulan.

Dia turut menerima tempahan daripada Jabatan Kesihatan di sebuah negeri untuk mendapatkan kira-kira 500 rantai kekunci berbentuk nyamuk aedes untuk kempen cegah denggi yang dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Saya juga buka tempahan kepada orang ramai yang mahu pelbagai jenis replika. Ada yang nak replika motosikal dan saya ambil masa untuk siapkan tempahan tersebut dengan harga berpatutan.

“Saya jual produk saya di tempat awam seperti bazar malam dan ekspo jualan di samping bergerak dari satu tempat ke satu tempat,” katanya.

Produk yang dihasilkannya itu turut tersebar dalam laman sosial, yang dimuat naik oleh pelanggannya. - BERNAMA

Tempah kabel tie pelbagai warna

Dalam pada itu, menurut Mohd Fadhli Mohd Yusof, dia terpaksa menempah kabel tie dalam pelbagai warna dan saiz seperti merah, hijau, kuning dan biru bagi menyediakan replika dalam pelbagai warna.

Kabel tie yang terdapat di pasaran kebanyakannya berwarna hitam dan putih menyebabkan ia terhad untuk menghasilkan ciptaan yang lebih menarik.

Beliau menempah kabel tie pelbagai saiz dan warna dari kilang dan tiap-tiap tempahan berjumlah 10,000 unit dengan kos melebihi RM3,000.

“Bagi satu jenis replika saiz kecil, saya menggunakan lebih 10 kabel tie dan bagi yang besar melebihi 100 kabel. Kalau hitam putih saja tak menarik perhatian orang ramai.

“Tambahan pula kita cipta replika yang mengikut warna sebenar lebih menampakkan kesan 3D itu dan ramai yang tertarik dan mahukannya,” jelasnya.

Mohd. Fadhli berharap dapat menjalankan perniagaan ini secara sepenuh masa dengan memiliki sebuah kedai sendiri serta mengetengahkan hasil kerjanya itu ke peringkat lebih tinggi pada masa hadapan.

“Saya mahu produk yang dihasilkan ini setanding dengan produk kraf tangan seperti batik yang mendapat permintaan yang tinggi di pasaran tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Beliau berharap ada agensi seperti Mara membantu memberi bimbingan dan kemudahan lain untuk mengembangkan perniagaan.

Tempahan replika boleh dibuat dengan menghubungi Mohd Fadhli 014-2427745.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain