Mendapat sokongan hebat dari industri dan daripada pelawat perdagangan, IGEM 2017 boleh dikatakan telah berjaya mencapai matlamatnya untuk melaksanakan penggunaan tenaga boleh diperbaharu (RE) dan mampan sebagai penjana utama bagi mewujudkan persekitaran yang lebih hijau.

Persidangan yang dianjurkan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dan penganjur bersama, Malaysia Green Technology Corporation (GreenTech Malaysia) dari 11 hingga 13 November lalu itu terbahagi kepada empat bahagian iaitu Tenaga Hijau, Pengangkutan Hijau, Bangunan Hijau dan Industri Hijau.

Salah satu pameran yang paling menonjol dalam IGEM 2017 kali ini adalah pameran yang berpusatkan belia iaitu Karnival Inovasi Teknologi Hijau.

Hampir 1,000 pelajar dari 50 buah universiti dan 106 buah sekolah menghadiri acara tiga hari itu dan mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti serta program yang mendedahkan mereka dengan teknologi hijau.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili berkata, negara kini sedang melaksanakan program jangka masa panjang iaitu Transformasi Nasional 2050 (TN50), yang turut memberi fokus kepada idea dan aspirasi golongan belia dalam pelbagai sektor termasuk teknologi hijau.

“IGEM 2017 membuka peluang bagi golongan muda khususnya pelajar untuk lebih mendekati bidang teknologi hijau secara akar umbi dan juga inovasi terkini dari organisasi peneraju industri.

“Menerusi Karnival Inovasi Teknologi Hijau, ia memberi peluang kepada pelajar untuk mengembangkan bakat, kemahiran dan potensi dengan menggunakan ilmu teknologi hijau untuk menghasilkan produk teknologi hijau. Pada masa yang sama, ia juga dapat memupuk kesedaran golongan belia ini untuk mengamalkan kehidupan lebih hijau pada masa akan datang,” katanya.

Tambahnya lagi, IGEM 2017 juga memberikan fokus kepada pelajar universiti apabila turut menyediakan pavilion universiti. Pavilion berkenaan mempamerkan pelbagai prototaip dan projek yang sedang dijalankan oleh universiti terkemuka negara seperti Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

“IGEM 2017 telah membuktikan bahawa ia merupakan satu program pemangkin teknologi hijau dalam negara yang berjaya apabila matlamat utamanya berjaya dicapai dalam penganjuran selama tiga hari itu,” katanya.

Pameran teknologi hijau

Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko ke-8 yang merupakan platform tahunan teknologi hijau diisi dengan pelbagai acara dan program sepanjang berlangsung selama tiga hari di ibu negara baru-baru ini.

Bertemakan Memperkasa Bandar Hijau, IGEM 2017 dianjurkan oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air bersama dengan Green Technology Corporation Malaysia (GreenTech Malaysia) mendapat penyertaan daripada pelbagai pihak termasuk dari negara luar.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Dr. Maximus Johnity Ongkili berkata, hampir semua daripada 195 buah negara di seluruh dunia komited untuk melindungi dan memelihara bumi dengan mengamalkan kemajuan sosioekonomi yang lestari.

“Saya bangga menyatakan bahawa Malaysia bukan sahaja menjadi pemacu agenda lestari di negara sendiri malah untuk seluruh rantau ini.”

“Antara usaha yang dilaksanakan adalah persidangan IGEM, pameran teknologi hijau terbesar rantau ASEAN yang diterajui Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

“Acara ini menjadi platform kepada pakar industri untuk mempamerkan inovasi yang terkini kepada negara-negara dan syarikat untuk mereka laksanakan sebagai sebahagian daripada usaha pembangunan mapan bersama,” katanya.

Antara pengisian IGEM 2017 adalah pembentangan kepakaran, idea dan pendapat oleh pakar teknologi hijau terkemuka dunia serta pembuat keputusan menerusi tiga persidangan yang disertai seramai lebih 500 perwakilan antarabangsa dari negara-negara seperti Australia, China, Republik Czech, Indonesia, Korea, Belanda, Filipina, Singapura, Thailand dan United Kingdom.

Persidangan utama yang berlangsung adalah IGEM 2017 International Urban Sustainability and Green Building Conference (IUSGBC).

Persidangan selama dua hari yang dianjurkan oleh Malaysia Green Building Confederation (MGBC), yang merupakan anggota World Green Building Council (World GBC), dengan kerjasama kementerian.

Ketua setiausaha kementerian, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang berkata, persidangan IUSGBC sejajar dengan tema IGEM 2017 iaitu Memperkasa Bandar Hijau dengan topik-topik yang penting dan relevan yang meliputi kewangan, kesihatan dan kesejahteraan berhubung dengan perkembangan hijau, persidangan itu adalah amat bermanfaat bagi pelabur, pembina dan pemilik harta.

“Kementerian akan terus berkerjasama dengan pemain yang berwibawa untuk menawarkan dialog dan sesi perkongsian pengetahuan,” ujarnya.

IUSGBC disertai seramai 200 perwakilan antarabangsa termasuk peneraju industri dan pakar bidang bagi membincangkan potensi bangunan hijau dalam mengurangkan perubahan iklim serta meneroka peluang industri bangunan hijau serta pembiayaan.

Presiden MGBC, Ir. Ahmad Izdihar Supaat berkata, pihaknya gembira dapat bekerjasama dengan penganjur untuk membawakan IUSGBC ke IGEM 2017.

“Dengan barisan penceramah antarabangsa yang dinamik yang akan membincangkan topik-topik menarik yang berkait dengan industri bangunan hijau, kami yakin IUSGBC di IGEM 2017 akan menjadi persidangan yang bermanfaat bagi komuniti bangunan hijau.” ujarnya.