Cabaran reka bentuk di negara ini juga wujud kerana persepsi segelintir masyarakat yang tidak sedar kepentingannya atau tidak memahami dan menghargainya.

Namun ramai tidak menyedari bahawa Malaysia berada pada kedudukan ke-37 di peringkat antarabangsa dalam bidang reka bentuk yang diukur berdasarkan pencapaian dan pengiktirafan yang diterima.

Justeru pewujudan Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM) pada 1993 amat kena pada masanya dalam usaha kerajaan melahirkan usahawan berasaskan kreativiti dan inovasi dan reka bentuk sebagai platformnya.

Sebagai agensi tidak berasaskan kepentingan, MRM sebagai salah sebuah agensi di bawah Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berfungsi untuk mempromosi kepentingan reka bentuk. MRM membantu pereka tempatan mengembangkan keupayaan mereka selain mewujudkan satu persekitaran industri yang kondusif untuk usahawan berkaitan bidang reka bentuk.

Menurut Pengarah Kanan MRM, Futom Shikh Jaafar peranan pereka bentuk tempatan kadangkala tidak begitu dihargai dan ada yang tertipu dengan pihak yang memerlukan khidmat mereka dalam menyelesaikan sesuatu tugasan atau projek.

“Sebagai contoh seorang pereka diminta menyediakan satu rekaan, walaupun ditolak tetapi sebenarnya rekaan tersebut masih digunakan sama ada sepenuhnya atau dengan sedikit pengubahsuaian tanpa pengetahuan pemiliknya, dan akhirnya mereka tidak akan dibayar hasil kerja mereka,” ujarnya.

Kadangkala wujud juga keadaan hasil kerja pereka tidak dihargai dan ditolak oleh pihak pengurusan walaupun ia bernilai agak tinggi tetapi hanya disebabkan ketidakfahaman mengenai reka bentuk dan rasional mengapa rekaan itu dihasilkan oleh pihak tertentu.

Futom berkata, pihaknya memandang serius isu isu berkaitan reka bentuk di negara ini memandangkan sudah banyak dalam kalangan universiti tempatan yang menawarkan kursus reka bentuk yang turut sama menarik minat pelajar luar negara.

Katanya ketika ini terdapat kira-kira 70 kolej dan universiti yang menawarkan kursus berkaitan reka bentuk di negara kita dengan seramai 4,000 pereka dilahirkan pada setiap tahun.

Persoalannya, adakah siswazah reka bentuk ini mempunyai masa depan dari segi prospek kerjaya?

Terdapat beberapa strategi yang boleh digunakan untuk membolehkan siswazah ini memanfaatkan kemahiran dan kelayakan mereka.

Misalnya, mereka perlu bekerja makan gaji terlebih dahulu untuk mencari pengalaman sebelum menubuhkan syarikat sendiri dan seterusnya menjadi usahawan.

Mendepani cabaran yang sama MRM juga merangka pelbagai program antaranya Malaysia Good Design Mark (MGDM) iaitu memberi pengiktirafan kepada industri tempatan yang cemerlang menghasilkan produk berkualiti dan inovatif.

Program tersebut juga menggalakkan peningkatan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk selain mempromosi menyebar luaskan pasaran produk dengan reka bentuk tempatan ke peringkat global.

“Program ini membantu kita mengenal pasti produk yang mana reka bentuknya mampu menjadikannya berbeza dan menepati gaya hidup, cita rasa serta trend masyarakat pengguna masa kini.

“Dengan itu kita boleh membuktikan keupayaan kepada bukan sahaja sektor perindustrian, tetapi juga kerajaan dan masyarakat tempatan bahawa kita tidak ketinggalan memiliki pereka yang mampu menghasilkan rekaan yang eksklusif dan setanding dengan pereka-pereka terkenal di peringkat antarabangsa” katanya.

Satu lagi program yang dianjurkan oleh MRM ialah perkongsian reka bentuk yang melibatkan pemadanan atau perkongsian antara pembimbing dan bakal usahawan.

Bakal usahawan ini akan mendapat manfaat daripada pembimbing atau mentor mereka yang telah berjaya dalam bidang reka bentuk dan boleh mengikut jejak langkah untuk berjaya sebagai usahawan.

Program tersebut sangat penting bagi menarik minat generasi muda menceburkan diri dalam bidang tersebut supaya menjadi pelapis kepada kumpulan sedia ada yang jumlahnya mengikut daftar yang berada di MRM ialah seramai 6,000 orang tidak termasuk pereka fesyen.

Menerusi program tersebut, seramai tiga usahawan muda telah dilahirkan setakat ini.

Futom juga menarik perhatian bahawa pereka bentuk tempatan sepatutnya memanfaatkan kepelbagaian budaya dengan mengenengahkan atau menonjolkan keunikan dan keaslian reka bentuk berdasarkan negeri masing-masing.

Ini sekali gus dapat mengangkat ikon dan identiti Malaysia di mata dunia dalam bidang reka bentuk tetapi ia haruslah menggunakan pendekatan yang bijaksana supaya tidak nampak keterlaluan.

Dalam masa yang sama, beliau juga berpesan supaya pereka bentuk juga perlu bersedia melabur untuk mengangkat martabat rekaan mereka.