Syarikat terbabit, Orion Span mengumumkan, hotel berkenaan akan mula berada di orbit dalam tempoh empat tahun sebelum mampu menerima kunjungan penginap­nya dalam tempoh lima tahun.

Berbeza dengan hotel biasa, para penginap tinggal dalam keadaan sifar graviti angkasa dan berpeluang menikmati keindahan bumi dari angkasa lepas serta menyaksikan matahari terbit dan terbenam sebanyak 16 kali sehari.

Projek hotel yang mampu menampung enam penumpang termasuk dua kru pada satu-satu masa diumumkan baru-baru ini di persidangan Angkasa 2.0 di San Jose, California, lapor portal Daily Mail.

Pengasas Orion Span, Frank Bunger yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) firma itu mendakwa misi mereka ialah untuk ‘membina komuniti mapan manusia di angkasa lepas yang terbuka kepada semua orang‘.

Di sebalik kenyataan firma itu bakal membina stesen angkasa lepas sendiri tetapi belum mengesahkan perincian pelancarannya dengan mana-mana syarikat.

‘Aurora Station’ mempu­nyai keluasan sama seperti kabin jet peribadi yang berukuran 13.3 panjang dan 4.3 meter le­bar dilengkapi dengan internet tanpa wayar berkelajuan tinggi bagi membolehkan penginap berhubung dengan keluarga dan rakan.

Mereka yang ingin menginap terlebih dahulu perlu membayar wang deposit berjumlah AS$80,000 (RM309,000).

Pengalaman selama 12 hari itu bersamaan dengan AS$28,000 (RM108,000) bagi setiap jam.

Bakal penginap hotel, ba­gaimanapun diwajibkan mengikuti latihan selama tiga bulan di pusat kemudahan Orion Span, Houston, Texas bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.