Anak-anak merengek mahu makan menu bermacam-macam, tidak kurang juga suami yang meminta-minta masakan tradisional Melayu yang sudah sedia maklum kesukarannya.

Malah setiap kali masuk ke dapur, setiap kali itu juga bermain di kepala alangkah seronoknya jika ada pembantu rumah yang boleh mengambil alih tugas-tugas berkenaan.

Pun begitu, memahami keperluan itu, jenama peneraju inovasi kejuruteraan teknologi dapur selama lebih 50 tahun, Thermomix, memperkenalkan teknologi memasak alaf baharu yang merupakan jalan penyelesaian kepada kesukaran golongan yang gemar memasak iaitu Thermomix TM5 yang mempunyai 12 fungsi alat dapur.

Menariknya, alat memasak itu direka seperti gabungan pengisar, periuk dan kuali dalam satu struktur binaan yang mempunyai fungsi untuk mengacau, mencampur, memutar dan mencincang selain boleh memasak, mengukus, menimbang, mengisar, memukul, mereneh dan mengemulsi.

Lebih teruja, demi membantu komuniti pengguna Themomix, sebuah buku masakan Thermomix pertama di dunia yang menumpukan kepada masakan Melayu tradisional iaitu The Malay Kitchen, Recipes for Thermomix diperkenalkan oleh konsultan Thermomix, Suriya Abdullah dengan kerjasama syarikat itu.

Buku yang mengandungi 60 jenis resipi Melayu mudah itu tampil dengan menu-menu mudah seperti agar-agar Gula Melaka, kacang botol goreng cili, udang goreng kunyit dan sorber buah oren.

“Jika dahulu membuat rendang untuk seekor ayam mengambil masa lebih satu jam, namun dengan alat ini hanya 30 minit diperlukan tanpa dapur anda bersepah dan berminyak.

“Menggunakan pengisar, anda boleh menyiapkan rendang tanpa perlu menggunakan perkakasan lain termasuk tidak perlu mengacau seperti memasak hidangan itu lazimnya, malah boleh memasak seolah-olah dengan memejamkan mata,” jelasnya pada majlis pelancaran buku masakan itu baru-baru ini - UTUSAN ONLINE