Memiliki skrin yang lebih besar, terang dan jelas, Galaxy Note 8 pastinya menjadi kegilaan peminat siri tersebut.

Menurut Ketua IT dan Perniagaan Telefon Bimbit, Samsung Malaysia Electronics, KM Liew, ramai dalam kalangan pengguna telefon pintar kini mula berminat untuk menggunakan gajet yang lebih besar dan terbaik.

Jelasnya, tidak hanya sekadar paparan yang luas, gajet tersebut juga perlu memiliki prestasi yang tinggi bagi menampung penggunaan sistem serta aplikasi yang terkini.

“Galaxy Note 8 baharu merupakan rekaan yang telah diperhalusi sebaik mungkin bersama eksesori tambahan S Pen dan kamera berkembar yang terbaik dalam kelasnya.

“Selain itu ia juga memiliki aplikasi dan kelebihan hiburan yang inovatif dan kebolehan yang produktif membolehkan pemilik gajet ini melakukan banyak perkara,” katanya.

Tidak hanya berjaya mencuri hati peminat teknologi gajet, Galaxy Note 8 juga berjaya menambat hati heroin artis ternama Korea, Song Ji-Hyo yang merupakan bintang dalam rancangan terkemuka Running Man yang juga membuat penampilan khas pada majlis pelancaran gajet tersebut baru-baru ini.

Bersama paparan Quad HD+ Super AMOLED Infinity Display seluas 6.3 inci membolehkan anda melihat paparan dengan lebih baik dan memuaskan.

Galaxy Note 8 menawarkan lebih banyak ruang untuk anda menonton, membaca dan melukis, sekali gus menjadikan ia sebagai sebuah telefon pintar pelbagai guna yang realistik.

Pengguna Note sememangnya biasa menggunakan kemudahan bukaan tetingkap yang pelbagai (Multi Window) dan menerusi Galaxy Note 8 anda boleh membuka dan mengakses beberapa aplikasi serentak.

Anda boleh menonton rancangan kegemaran menerusi YouTube sambil berbual menerusi aplikasi WhatsApp atau apa-apa aplikasi khidmat pesanan ringkas serentak.

Bagaimanapun, bagi siri Note terdapat satu kelebihan yang tiada pada telefon lain, kelebihan tersebut adalah penggunaan S Pen.

Selama Note diperkenal, pengunaan S Pen dilihat amat eksklusif bagi siri ini dan ia merupakan kelebihan yang amat memudahkan pemilik gajet tersebut.

Bagi Galaxy Note 8, S Pen menawarkan cara terbaharu untuk menulis, melukis dan berhubung sama ada dengan telefon mahupun rakan-rakan anda.

Ia memiliki mata pen yang lebih halus di samping sensitiviti yang tinggi serta beberapa ciri-ciri yang membolehkan pemiliknya mengekspresikan diri mereka yang sebenar.

Tidak hanya S Pen, Galaxy Note8 juga turut dilengkapi kelebihan lain iaitu kamera berkembar dengan piksel setinggi 12 mega (12 MP) bersama Dual OIS (Optical Image Stabilisation) untuk kedua-dua jenis lensa (wide -angle, telephoto).

Lensa bersudut luas memiliki penderia Dual Pixel bersama kelebihan pemfokusan automatik (Auto Fokus) yang membolehkan anda merakam imej dengan lebih jelas, tajam dan terang biarpun di dalam keadaan cahaya yang kurang.

Dalam pada itu, Galaxy Note 8 juga dibina atas legasi Note sebelumnya yang memiliki pelbagai ciri unik seperti kalis air dan habuk, proses mengecas secara wayarless yang pantas, tahap keselamatan yang tinggi, prestasi yang terbaik dan menawarkan pengalaman telefon pintar inovatif yang terbaik buat peminatnya.

SPESIFIKASI

Jaringan: GSM / HSPA / LTE.
Dimensi: 162.5 x 74.8 x 8.6 milimeter (mm).
Berat: 195 gram (g).
Paparan: Skrin sesentuh Super Amoled 16 M.
Perlindungan Paparan: Corning Gorilla Glass 5.
Saiz Paparan: 6.3 inci.
Resolusi: 1440 x 2960 piksel.
SIM: SIM tunggal (Nano-SIM) atau Hybrid Dual SIM (Nano-SIM).
Sistem Operasi: Android 7.1.1 (Nougat).
Chipset: Exynos 8895 Octa - EMEAQualcomm MSM8998 Snapdragon 835 - AS & China.
CPU: Octa-core (4x2.3 GHz & 4x1.7 GHz) - EMEA Octa-core (4x2.35 GHz Kryo & 4x1.9 GHz Kryo) - AS & China.
GPU: Mali-G71 MP20 - EMEA Adreno 540 - AS dan China.
Memori: SD Mikro sehingga 256 GB, dalaman 64/128/256 GB.
RAM: 6 GB.
Kamera utama: Dual 12 MP (26mm, f/1.7, PDAF & 52 mm, f/2.4, AF).
Kamera kedua: 8 MP (f/1.7).
Bateri: Binaan dalam Li-Ion 3300 mAh.
Warna: Hitam, emas, kelabu orkid, biru laut, merah jambu.
Harga: RM3,999.