Vivo V5s merupakan telefon pintar yang fokus kepada aktiviti swafoto dan pastinya gajet itu menjanjikan pengalaman imej swafoto yang terbaik buat peminatnya.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Vivo Malaysia, Mike Xu, pelaburan yang berterusan oleh pihaknya sepanjang proses penyelidikan dan pembangungan (R&D), inovasi dan program kempen dalam pasaran tempatan banyak membantu dalam jualan gajet pintar tersebut.

Jelasnya, kini jualan Vivo V5s mencatatkan 12 peratus daripada jumlah pasaran dalam negara dan berada di tangga keempat berdasarkan jualan dari tahun ke tahun.

“Kami menumpukan kepada peminat swafoto terutama golongan muda.

“Untuk itu, Vivo V5s didatangkan bersama kamera hadapan setinggi 20 megapiksel (MP).

“Tidak hanya itu, gajet tersebut juga turut dilengkapi bersama ciri-ciri Selfie Softlight yang memberikan cahaya secara semula jadi ke atas wajah anda tanpa menyilaukan mata,” katanya.

Kelebihan tersebut membolehkan pengguna merakamkan imej swafoto tanpa merosakkan imej yang dirakam.

Vivo V5s juga menerima maklum balas yang terbaik daripada pengguna yang menjuruskan kepada peningkatan peratus jualannya.

Bersama promosi #PerfectSelfie, perkara utama yang ingin diketengahkan pada Vivo V5s adalah kelebihan kamera hadapan tersebut.

Sebagai tambahan, Vivo V5s juga didatangkan bersama tiga ciri baharu iaitu menggilap, memutihkan, tona kulit dan Face Beauty 6.0.

Gajet itu juga turut diperkenal kepada ciri Group Selfie baharu yang mana membolehkan anda merakamkan semua rakan anda tanpa meninggalkan sesiapa.

Face Beauty 6.0 itu juga telah dipertingkat dengan pelbagai ciri mengarah kepada ciri-ciri wajah bagi menghasilkan imej swafoto terbaik.