Antara kelebihan yang ikonik bagi gajet tersebut adalah alat khas yang begitu bergaya iaitu S Pen.

Setiap siri model tersebut dilengkapi S Pen yang pastinya memiliki seribu satu kegunaan dan kelebihan.

Seakan tepat dengan namanya, Nota (Note) pasti memerlukan pen untuk menulis di situ wujudkan S Pen buat mereka yang benar-benar mahukan versatiliti.

Merupakan alatan pelbagai guna, S Pen baharu yang didatangkan bersama Note 8 merupakan siri S Pen terbaik sepanjang penciptaanya.

Menurut Jurutera Prinsipal, Kumpulan Rangka Kerja Penyelidikan dan Pengembangan (R&D), Pasukan Komunikasi dan Jualan Teelfon Pintar Samsung, Hyesoon Jeong, inovasi tersebut adalah bagi memenuhi keperluan pengguna yang kian meningkat masa kini.

“Sehingga kini kami menerima maklum balas yang positif tentang inovasi baharu yang ditambah dalam S Pen baharu ini,” katanya.

“Ramai dalam kalangan pengguna tidak dapat menggunakan sepenuhnya kelebihan S Pen dalam model-model Note sebelum ini,” katanya.

Oleh demikian, ketika mereka bentuk dan menaik taraf semula S Pen, Samsung memastikan alatan tersebut dapat berfungsi seperti mana yang sepatutnya.

“Begitu juga ketika menaik taraf siri gajet Samsung Galaxy Note kepada model yang lebih baik, kami tidak lagi memberikan penumpuan kepada penambahbaikan teknologi namun lebih kepada menambah ciri-ciri yang dapat memudahkan kehidupan seharian pengguna,” katanya.

Pada awal setiap tahun diadakan satu mesyuarat khas yang dikenali sebagai Note Kickoff yang menemukan hampir keseluruhan pasukan.

Setiap jabatan perlu membentangkan idea-idea baharu untuk menghasilkan ciri-ciri yang lebih inovatif untuk dimasukkan ke dalam model baharu dan memperbaiki kelemahan gajet menerusi maklum balas yang diterima daripada pengguna.

Itu adalah cara bagaimana Samsung Galaxy Note 8 dan S Pen terhasil, daripada maklum balas dan keperluan terus daripada pengguna.

Antara ciri baharu yang mendapat sambutan adalah Mesej Secara Langsung (Live Message) yang membolehkan pengguna menambah pelbagai kesan khas seperti simbol Emoji secara hidup.

Fokus utama Samsung membangunkan kebolehan tersebut adalah kebolehgunaannya dan boleh digunakan oleh semua orang di seluruh dunia.

Kolaborasi bersama Wacom (sebuah syarikat terkemuka dalam menawarkan paparan pen, tablet dan pengeluar stylus) yang menawarkan teknologi tablet untuk dimuatkan ke dalam telefon pintar menerusi S Pen merupakan situasi menang-menang.

“Biarpun terdapat syarikat pengeluar peranti pintar yang boleh menghasilkan paparan yang luas namun apabila solusi Wacom diperkenal pihak kami mampu meletakkan satu penanda aras baharu untuk segmen tersebut,” katanya.

Apa yang pasti, S Pen merupakan ikon unik buat Samsung dan ramai dalam kalangan pengguna Samsung memilih untuk setia dengan gajet tersebut. – ASHRIQ FAHMY AHMAD