Sebagai selebriti serba boleh, mempunyai jenama perniagaan sendiri dan juga memiliki peminat tersendiri, Neelofa dilihat mempunyai personaliti dan imej yang paling sesuai dan mampu memberikan aura yang mempesonakan bagi R9s Edisi Hitam.

Warna hitam yang dilambangkan sebagai warna yang berkuasa, versatil, berkeyakinan dan penuh gaya membuatkan Oppo Malaysia tidak teragak-agak untuk memilih Neelofa sebagai duta edisi istimewa ini.

Pengarah Jenama Oppo Malaysia, Chen Lu berkata, Neelofa merupakan tambahan terbaru bagi skuad selebriti Oppo yang terdiri daripada Fattah Amin, Ayda Jebat dan Min Chen, sekali gus membolehkan jenama itu mencapai peminat dan pengguna yang lebih luas.

“Pesona barisan skuad yang telah memberikan inspirasi kepada masyarakat, selain kesungguhan mereka ketika bekerja serta imej muda yang ditampilkan menjadikan mereka sebagai ikon yang sesuai bagi telefon pintar jenama ini,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Peranti dengan paparan AMOLED 5.5 inci itu memiliki kuasa pemprosesan Qualcomm Octacore, RAM 4 GB dan storan dalaman 64 GB yang boleh ditambah dengan kad microSD hingga 128 GB.

Sebagaimana spesifikasi telefon pintar sebelum ini, R9s mempunyai teknologi pengecasan pantas VOOC dengan bateri sebesar 3010 mAh.

R9s juga dihadirkan dengan pengimbas cap jari pantas serta kamera baharu yang menggunakan sensor IMX 398 terkini dan teknologi Dwi-PDAF.

Maklumat lanjut berkenaan Oppo R9s Edisi Hitam boleh didapati di http://www.oppostore.com.my/products/r9sblack/