Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, William Fang, pengenalan F1s dilakukan bagi mengembangkan pasaran yang dikuasai oleh model sebelumnya F1.

Katanya, untuk itu pihaknya telah menaik taraf kamera hadapan peranti itu kepada kamera 16 megapiksel yang diperkasakan dengan cip pemproses lapan teras 64-bit 3 gigabit (GB) RAM yang disokong oleh memori dalaman 32GB ROM dan bateri 3075mAh.

"F1s juga didatangkan dengan dua slot kad SIM 49 dan satu slot kad memori yang mampu menyokong kad memori 128GB.

"Selain itu, seiring dengan fokus F1s sebagai telefon 'pakar selfie', peranti ini juga dimuatkan dengan pelbagai aplikasi fotografi seperti Beautify 4.0," katanya kepada media pada majlis pelancaran telefon berkenaan di sini hari ini.

William berkata, selain itu telefon berkenaan juga telah dinaikkan taraf ciri keselamatannya menggunakan pengimbas cap jari yang mampu membuka peranti berkenaan dalam masa 0.22 saat.

Kata beliau, F1s yang ditawarkan dalam dua warna iaitu Emas dan Ros Emas boleh mula ditempah pada 10 Ogos dan dipasarkan bermula 19 Ogos pada harga RM1,198. - UTUSAN ONLINE