Pengarah Urusan Nubia Distributions, Eddie Law Kong Heng berkata, pihaknya yakin sasaran berke­naan adalah realistik dan dapat dicapai walau pun Nubia baharu sahaja menembusi pasaran negara ini Jun lalu.

Jelas beliau, Nubia sedang merancang untuk meningkatkan kesedaran jenama dalam pasaran Malaysia di samping mengadakan pelbagai aktiviti bersama pelanggan.

“Matlamat utama kami adalah untuk memastikan rakyat Malaysia tahu tentang Nubia sebagai peranti berkualiti tinggi dengan harga yang sederhana.

“Kami merasakan tidak banyak jenama telefon pintar di Malaysia yang mempunyai kualiti setanding Nubia dalam lingkungan harga yang sama, jadi saya yakin Nubia akan mendapat sambutan menggalakkan.

“Sekiranya kami dapat mencapai purata pendapatan per pelanggan (ARPU) sekitar RM1,000 bagi setiap model, tidak mustahil kami dapat menjual kira-kira 10,000 peranti tahun ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Nubia yang ditubuhkan pada tahun 2012 merupakan jenama telefon pintar dari China yang menawarkan telefon pintar kepada pengguna lasak yang mahukan pengalaman baharu dan meningkatkan kualiti kehidupan.

Jenama yang terkenal dengan ciri-ciri interaksi inovatif dan fungsi fotografi profesional tersebut juga telah mempunyai operasi di kebanyakan kawasan seluruh dunia termasuk Amerika Utara, Amerika Selatan, Eropah, Rusia, Asia Tenggara dan India.

Buat ketika ini, Nubia mempunyai lima model telefon pintar ditawarkan di Malaysia iaitu Z17 mini, Z11, M2, M2 Lite dan N1 Lite.

Mengulas lanjut, Kong Heng berkata, Nubia Distributions juga sedang merancang membawa lebih banyak model telefon pintar baharu Nubia supaya pelanggan mempunyai lebih pilihan.