Pengurus Negara Malaysia dan Myanmar HMD Global, Vijay Thangavelu berkata, selain Nokia 3310, rangkaian telefon pintar terbaharu Nokia, Nokia 3, Nokia 5 dan Nokia 6 yang dilancarkan awal tahun ini di Kongres Mudah Alih Dunia (MEC) di Barcelona juga mula dipasarkan di Malaysia masing-masing pada harga RM599, RM799 dan RM999.

Katanya, kesemua model baharu Nokia itu menggabungkan ciri dan reka bentuk tersendiri yang menambah lagi keterujaan penggunanya.

Beliau berkata, HDM komited meneruskan ciri-ciri Nokia sebelum ini dari segi kualiti, kesederhanaan dan kebolehpercayaan bagi pengalaman sebenar jenama itu untuk menarik perhatian generasi baharu peminat Nokia.

“Hari ini merupakan permulaan bagi era baharu te­lefon pintar Nokia selepas kami memperkenalkan semula jenama ini kepada pengguna telefon pintar di Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, rangkaian te­lefon pintar Nokia baharu ini direka bagi memberikan pe­ngalaman terbaik pada nilai yang rendah kepada penggunanya.

Katanya, Nokia 3310 masih mengekalkan keaslian model asal namun dalam versi yang lebih menarik seperti skrin paparan berwarna 1080p 2.4 inci berbanding model lama hanya skrin monokrom.

“Telefon tersebut juga memiliki slot kad memori yang boleh menempatkan kad mikroSD berkapasiti 32 Gigabit (GB) dan kamera belakang hanya dua megapiksel (2 MP),” katanya.

Beliau berkata, Nokia 3310 boleh didapati dalam empat pilihan warna merah, kuning, biru gelap dan kelabu.

Nokia 3, Nokia 5 dan Nokia 6 pula ditawarkan dalam empat warna pilihan iaitu Matte Black, Silver, Tempered Blue dan Copper.