Dalam artikel Genius Corner siri ke-20, kita telah pelajari konsep Superglobals dalam PHP dan kaedah menggunakannya dalam sesebuah borang. Latihan minggu ini merupakan kesinambungan artikel tersebut, dan kita akan pelajari teknik lengkap menentusahkan data dengan kaedah validasi. Mari kita mulakan latihan kali ini.

Membina borang dengan PHP

Semakan

Menerusi latihan tadi, kita telah menghasilkan sebuah borang maklumat peribadi yang memerlukan pengunjung mengisi ruangan kosong yang disediakan dengan nama penuh, alamat e-mel, alamat laman web, komen dan jantina.

Apabila butang submit ditekan, maklumat tadi dihantar kembali kepada fail yang sama melalui arahan $_SERVER[‘PHP_SELF’] di dalam tag <form>. Apabila maklumat diterima, kod atur cara $_SERVER[“REQUEST_METHOD”] digunakan bagi mengenal pasti sama ada maklumat diterima melalui $_POST atau tidak melalui syarat If.

Jika benar, kod syarat If diguna lagi untuk menyemak setiap satu kotak input sama ada ia dibiar kosong atau tidak. Jika tidak kosong, syarat If pertama diguna bagi menentukan sama ada ruang nama hanya diisi menggunakan abjad dan ruang kosong sahaja.

Syarat If kedua dan ketiga pula diguna bagi menentukan sama ada input alamat e-mel dan alamat laman web diisi dengan penuh dan sempurna. Akhir sekali, fungsi test_input() diguna bagi membuang aksara space yang terdapat pada awal dan hujung input sekiranya pengguna tertekan space bar secara tidak sengaja sebelum dan selepas memasukkan data.