Galaxy Note 9 menawarkan kelebihan inovasi kamera pintar baharu yang lengkap iaitu mampu mengesan sebarang ketidaksempurnaan pada gambar yang diambil dengan memberi notifikasi pada paparan skrin sekiranya gambar tersebut kabur atau terganggu oleh objek lain.

 

Presidennya, Yoonsoo Kim berkata, ciri kamera premiumnya didatangkan dengan teknologi pengurangan hingar termaju dan kanta bukaan berganda (dual aperture) yang boleh disesuaikan dengan cahaya secara sendiri seperti mata manusia.

“Galaxy Note 9 menggabungkan kuasa, produktiviti, ketahanan dan hiburan yang sememangnya di dalam satu peranti tunggal. Ditambah dengan ciri keselamatan gred pertahanan yang kuat, ini adalah peranti yang sesuai dengan setiap keperluan.

Pengguna hari ini secara konsisten mencari telefon pintar yang mampu melakukan semuanya seperti mengambil gambar yang hebat, pengalaman permainan yang lancar mahu pun bagi urusan perniagaan,” katanya ketika melancarkan telefon pintar berkenaan di ibu negara baru-baru ini.

Antara ciri baharu lain yang dinaik taraf ialah prestasi optimum sepanjang hari yang dikuasakan dengan bateri sehingga 4,000 mAh untuk penggunaan berpanjangan bagi menonton filem, bermain permainan video atau berkomunikasi sepanjang hari.

Telefon pintar tersebut boleh didapati bermula 24 Ogos ini di pasaran tempatan dengan harga RM3,699 untuk 128 gigabait (GB) dan RM4,599 untuk 512 GB bagi dua pilihan warna yang ditawarkan.