Nokia 6.1 Plus ini agak menonjol dengan reka bentuk berkilat kekinian pada kebanyakan peranti 2018 ini.

Saiznya 5.8 inci yang kompak dengan skrin hampir penuh pada ratio 19:9 membuat amat selesa bagi pengguna menggenggam peranti ketika berada pada tangan.

Dikuasakan oleh cip pemprosesan pertengahan Octa Core SD 636 dan dengan RAM 4 GB, peranti ini sangat lancar menjalankan apa-apa aplikasi atau permainan mudah alih yang dipasang.

Ia dilengkapi dengan storan dalam tinggi berkapasiti 64 GB dan boleh ditambah storan tambahan mikro SD sehingga 400 GB melalui ruang SIM hibrid.

Ciri dwikamera menjadi sentuhan padu pada peranti ini. Dua kamera belakang beresolusi 16 megapiksel (MP) dan 5 MP yang memang hebat untuk kesan bokeh selain dwitona flash.

Selain itu, terdapat mod Bothie yang apabila diaktifkan, kamera depan dan belakang boleh berfungsi serentak sama ada dalam mod foto atau pun video. Sesuatu yang seronok untuk digunakan dan sepatutnya ada pada semua peranti pada zaman ini.

Nokia 6.1 Plus ini menggunakan antara muka sistem Android murni di bawah program Android One yang sangat ringan dan ringkas tanpa aplikasi pendua seperti kebanyakan peranti Android lain.

Tersedia daripada kilang adalah Android 8.1 Oreo dan sokongan program Android One membolehkan peranti ini dikemas kini sehingga dua tahun ke depan.

Bateri peranti ini berkapasiti 3,060 mAh adalah sesuatu yang mengecewakan kerana kebanyakan peranti kini memiliki purata kapasiti bateri melebihi 3,500 mAh. Walau bagaimana pun, ia memiliki pengecasan pantas melalui kabel pengecas yang berjenis C dan bukan mikro USB.

Spesifikasi

  • Cip : Snapdragon 636 Octa Core dengan program Android One (AI Kecerdasan Pintar Terbina)
  • Kamera utama belakang : Dwikamera 16 megapiksel + 5 megapiksel
  • Kamera Swafoto : 16 megapiksel
  • Saiz : 5.8” dengan skrin bertakuk dan pengimbas cap cari di belakang
  • RAM : 4 GB
  • Storan Dalaman : 64 GB
  • Berat : 151 gram (g)
  • Bateri : 3,060 mAh dengan pengecasan pantas USB jenis C
  • Struktur dan Binaan : Kaca berkilat depan belakang dengan sisi aluminium
  • Warna : Biru gelap, hitam dan putih