MUBASHAR AFTAB
MUBASHAR AFTAB

Malah, beberapa penganalisis yang dihubungi Utusan Online menjangkakan kehadiran iPhone 8 akan meningkatkan kembali minat terhadap iPhone 7 yang dijangka mengalami penurunan harga.

Pengasas dan Ketua Editor Pokde.net, Mubashar Aftab berkata, walaupun diberikan penambahbaikan ketara pada kamera; binaan badan kaca; kalis debu dan air, iPhone 8 tidak menjadikan iPhone 7 ‘usang’ ataupun sudah tidak relevan.

“iPhone 8, seperti setiap model telefon Apple pada pengenalannya merupakan peranti premium yang menjadi pendahulu industri dan pastinya akan ditawarkan pada harga yang sedikit mahal berbanding telefon-telefon pintar dalam kelasnya seperti Samsung Note 8, Huawei Mate 9 mahupun Huawei Mate 10 yang bakal diperkenal pada bulan ini.

“Pun begitu, langkah memperkenalkan iPhone 8 ini merupakan strategi yang bijak kerana ia dalam masa sama dilihat turut akan menambahkan kembali minat pengguna terhadap iPhone 7 yang dijangka akan mengalami sedikit penurunan harga,” katanya ketika dihubungi Utusan Online hari ini.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Amanz Media, Ikhwan Nazri Mohd. Asran pula, penjualan iPhone 8 dan model-model sebelumnya sentiasa ditumpukan kepada golongan peminat yang benar-benar menginginkannya.

IKHWAN NAZRI MOHD. ASRAN
IKHWAN NAZRI MOHD. ASRAN

Justeru, menurut beliau, faktor harga yang tinggi tidak sewajarnya menjadi persoalan kepada pengguna yang mahu membelinya.

“Harga iPhone tidak pernah terkesan dengan keadaan ekonomi semasa kerana ia disasarkanke pada peminatnya. Oleh kerana ia diimport dari Amerika Syarikat (AS), harganya menjadi lebih tinggi.

“Di AS, peranti sebegini dijual dengan pelan syarikat telekomunikasi (telco), jadi ia lebih murah bagi mereka, namun, apabila dikirakan kadar tukaran asing semasa, harganya akan melonjak naik. Contohnya, jika dahulu iPhone 5 dapat dimiliki pada harga RM2,000 ke atas, harga model-model selepas itu boleh dikatakan sedikit tinggi,” katanya ketika dihubungi Utusan Online hari ini.

iPhone 8 yang diperkenalkan pada 13 September lepas menawarkan binaan badan kaca pada bahagian hadapan dan belakang; cip pemprosesan Apple A11 Bionic serta kamera baharu untuk rakaman video dan gambar yang lebih baik berbanding model sebelumnya.

Peranti berkenaan dilengkapi skrin bersaiz 4.7-inci manakala iPhone 8 Plus pula menggunakan skrin 5.5-inci kalis debu dan air selain sokongan pengecasan tanpa wayar.

Pratempahan untuk peranti ini telah dbuka sejak 13 Oktober 2017 di pengedar-pengedar seperti Machines dan Switch serta syarikat-syarikat telekomunikasi tempatan.

Difahamkan, telco-telco tempatan menawarkan iPhone 8 pada harga kurang RM50 daripada yang disenaraikan oleh pengedar rasmi Apple di Malaysia.

Harga rasmi yang diumumkan bagi penjualan iPhone 8 di Malaysia adalah RM3,649 (iPhone 8 64GB); RM4,399 (iPhone 8 256GB); RM4,149 iPhone 8 Plus 64GB dan RM4,899 (iPhone 8 Plus 256GB). - UTUSAN ONLINE