Meskipun Huawei tidak mendedahkan nama telefon pintar itu, ia dijangka Mate 10 berdasarkan latar belakang yang menunjukkan nombor 10 pada kad jemputan kepada pihak media.

Menurut portal teknologi Gadgets Now, jemputan media ke majlis pelancaran itu turut disertakan sebaris ayat Temui peranti yang berbaloi dinantikan.

Jelasnya, Huawei juga dilaporkan berkemungkinan mem­perkenalkan Mate 10 versi yang lebih kecil dan berpotensi dipanggil sebagai Huawei Mate 10 Lite.

“Huawei Mate 10 akan dida­tangkan dalam paparan enam inci edge-to-edge dikuasakan oleh pemproses Kirin 970 milik syarikat itu sendiri,” jelasnya di sini hari ini.

Baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif Huawei, Richard Yu menerusi temu bual dengan Bloomberg menyatakan bahawa Huawei Mate 10 akan memberi saingan yang mantap kepada ­iPhone versi baharu.

Menurut Richard, Mate 10 bakal didatangkan de­ngan kelajuan pengecasan bateri, kamera dan ciri lain yang dipertingkatkan menjadikannya pesaing yang layak untuk bersaing dengan ­iPhone.

“Kami akan mempunyai produk lebih berkuasa, Mate 10 dengan jangka hayat bateri yang tahan lebih lama dan kemampuan merakamkan foto lebih jelas akan membantu kami bersaing dengan Apple,” katanya.

Huawei kini pengeluar telefon pintar ketiga terbesar di dunia dan telah meningkatkan pegangan pasaran di seluruh dunia, terutama di Eropah dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Pada 2016, Huawei berjaya menjual sebanyak 140 juta telefon pintar, peningkatan seba­nyak 30 peratus berbanding tahun sebelumnya. – AGENSI