Perubahan berkenaan sekali gus meletakkan Google bersaing terus dengan rangkaian media sosial lain seperti Facebook.

Naib Presiden Kejuruteraan Goo­gle, Ben Gomes berkata, reka bentuk semula tersebut bakal dilaksanakan di Amerika Syarikat (AS) hari ini di­ikuti negara-negara lain dalam beberapa minggu akan datang.

Jelas beliau, reka bentuk berkenaan akan dikenali sebagai Goo­gle Feed, nama yang dikatakan menyerupai News Feed iaitu paparan dalam Facebook digunakan bagi melayari berita terkini daripada keluarga, rakan dan sumber lain.

“Walau bagaimanapun, kami tidak meniru paparan dalam Facebook Inc. kerana kami mahu mewujudkan sebuah lagi ruangan bagi orang ramai untuk melihat aliran keputusan carian yang relevan.

“Paparan baharu ini kese­muanya mengenai kegemaran anda, bukannya apa yang rakan-rakan anda gemari,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Google berkata, kemas kini akan datang bagi Google Feed mungkin akan meliputi link ke laman web termasuk petua mengenai tempat percutian atau link ke halaman mengenai basikal atau hobi-hobi lain.

Katanya, Google Feed akan memberi cadangan link berdasarkan sejarah carian pengguna selain data daripada perkhidmatan Google lain seperti YouTube, Gmail dan Google Calendar.

“Namun begitu, belum ada perancangan untuk memasukkan iklan dalam paparan berkenaan tetapi mungkin akan disertakan dalam paparan web,” katanya. – REUTERS