Video oleh ROSKHOIRAH YAHYA

Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Datuk Mohd. Zain Hassan berkata, antara kawasan tersebut adalah Lorong Landak, Lorong Baba, Lorong Kancil dan Jalan Kundur yang terletak di kawasan mempunyai penempatan warga asing yang ramai.

Beliau berkata, masalah itu sudah lama berlaku namun menjadi semakin tidak terkawal apabila perbuataan tidak bertanggungjawab tersebut menjadi kebiasaan penduduk yang mendiami lot-lot rumah kedai dan pangsapuri.

“Setiap hari Alam Flora akan mengadakan aktiviti pembersihan termasuk mengalih sampah yang tersangkut pada tingkap dan bumbung seperti tuala wa­nita, kulit durian serta sisa makanan. Pagi kita bersih, tengahari kawasan itu kembali dipenuhi sampah.

“Jentera ‘skylift’, peralatan teleskopik, dan ‘water jet” turut digunakan untuk membersihkan kawasan tersebut dan mengelak daripada berlakunya penularan wabak penyakit,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri program sesi turun padang Hentikan Sampah Terbang di kawasan rumah kedai Jalan Semilang, Taman Tenaga, Cheras di sini hari ini.

Menurut Mohd. Zain, berdasarkan pemerhatian yang dilakukan, pihaknya mendapati kawasan yang sudah lama menjadi penempatan warga asing itu dihuni oleh kira-kira 150 warga Indonesia, Myanmar (30), Bangladesh (30), Rohingya (35) dan Pakistan (20).

“Program yang mendapat kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu turut mengedarkan risalah pelbagai bahasa mengenai masalah itu.

“Diharap kempen ini dapat membantu warga asing memahami cara pembuangan sampah yang betul dan dipraktikan di Malaysia, bukan seperti negara asal mereka,” katanya.