Video oleh DJOHAN SHAHRIN SHAH, ROSALINDA MD. SAID dan AZLAN BAHRUM

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Marin dan Sekitaran UMT, Prof. Madya Dr. Siti Aisyah Abdullah berkata, sampel hidupan laut itu sudah diambil untuk penelitian bagi memastikan spesies, habitat dan punca berlakunya kejadian tersebut hingga menggemparkan penduduk setempat.

Bagaimanapun, katanya, fe­no­mena tersebut bukanlah se­­suatu yang luar biasa dan menganggapnya sebagai kitaran semula jadi rumpai laut memandangkan insiden sama pernah direkodkan di negeri ini pada November 2003, di sekitar pantai ber­kenaan hingga ke Merang.

“Rumpai laut ini sama seperti ditemukan 13 tahun lalu tetapi dari segi nama dan spesies, pro­ses itu mungkin memakan masa sedikit untuk penyelidik mengenal pasti dan mengkaji struktur sama ada ia merupakan pene­muan baharu atau sebaliknya.

“Kebanyakan rumpai laut di Pantai Timur mempunyai mu­sim pertumbuhan. Ia tumbuh selepas musim tengkujuh dan apabila sudah di tahap maksimum dengan faktor air laut yang bergelora dan angin kuat maka ia akan tercabut daripada dasarnya lalu terapung, hanyut dan mati sebagaimana yang berlaku pada 2003 cuma pada waktu tersebut, ia terdampar dan hilang dalam masa singkat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini hari ini.