Empangan Muda, Pedu dan Ahning merupakan empangan penting yang membekalkan 96 peratus air untuk Kedah dan 80 peratus air di Pulau Pinang.

Lebih kurang 32 peratus air dari Ulu Muda adalah untuk keperluan pertanian di Kedah dan Perlis dan aktiviti industri di Kulim dan Pulau Pinang. Hutan Simpan Ulu Muda juga mempunyai nilai kepelbagaian biologi yang tinggi terutama haiwan mamalia yang besar.

Selain sumber balak, Ulu Muda juga berpotensi sebagai destinasi ekopelancongan negara menandingi Royal Belum di Perak dan Taman Negara, di Pahang. Secara amnya, Hutan Simpan Ulu Muda merupakan penyumbang utama kepada ekonomi dan kesejahteraan rakyat Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.

Empangan Ahning penting sebagai sumber bekalan air bersih kepada
 

Air yang dibekalkan dari hutan Ulu Muda digunakan untuk aktiviti domestik, pertanian dan industri. Kedah yang menghasilkan 40 peratus daripada bekalan beras negara bergantung sepenuhnya kepada sumber air Ulu Muda.

Walaupun hutan Ulu Muda terbukti membekalkan air di kawasan Utara Semenanjung ia nampak masih belum dilindungi sepenuhnya.

Masih terdapat aktiviti pembalakan secara terancang dan pembalakan haram. Kawasan tadahan hujan semakin mengecil dan terdedah kepada hakisan permukaan, air larian permukaan dan hutan tidak dapat menyimpan air yang lama. Hutan tropika mampu menyimpan 70 peratus air hujan dan melepaskannya secara perlahan-lahan ke kawasan rendah melalui sungai dan saliran. Hutan berperanan dalam mengawal keseimbangan kitaran air, perubahan cuaca, suhu dan menyimpan air bersih.

Sehingga kini, aktiviti pembalakan masih berlaku tanpa mengambil kira kesan kepada sungai yang menjadi semakin cetek, mengundang banjir dan keadaan ekologi yang tidak seimbang akibat daripada hakisan tanah. Kualiti air sungai juga berkurangan yang boleh meningkatkan kos rawatan air minuman, di samping memberi kesan kepada kepelbagaian biologi seperti ikan serta haiwan dan tumbuhan akuatik lain.

Malah, aktiviti penebangan hutan di kawasan Ulu Muda juga boleh memberi kesan hingga ke pantai dan ekosistem batu karang. Kelodak hasil hakisan merubah kualiti air sungai dibawa hingga ke muara dan pantai.

Kemampuan hutan yang kurang menyimpan dan menapis air hujan menyebabkan lebihan air tawar ke laut yang boleh mengganggu ekologi pantai amnya. Laporan menunjukkan masih banyak kayu balak berkualiti tinggi dari jenis meranti, merbau dan cengal dibawa keluar dari kawasan Ulu Muda.

Pembalakan di kawasan berdekatan dengan empangan mestilah dikaji semula dengan mengambil kira sempadan yang sesuai untuk kawasan empangan yang tidak boleh diganggu. Semua aspek cerun dan puncak bukit, jenis tanah permukaan, sistem sungai dan anak sungai, zon penampan, jenis tumbuhan yang ada serta kepentingan hidupan liar mestilah tidak boleh diganggu.

Pihak yang bertanggungjawab mestilah amanah dalam hal ini bagi memastikan generasi akan datang mendapat bekalan air yang cukup. Pembangunan pesat di kawasan bandar, teknologi pertanian dan industri memerlukan air. Air yang tidak mencukupi bukan sahaja memberikan kesan kepada kesihatan manusia tetapi ekonomi dan kesejahteraan hidup manusia. Oleh itu pengekalan hutan terutama kawasan tadahan air mestilah dilaksanakan dan merupakan tanggungjawab semua.

Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) bermula pada April 1966 dan pada awal 1970, sistem perairan bermula untuk lebih kurang 33,600 hektar (ha) sawah padi. Pelaksanaan sistem perairan dilaksanakan dalam empat peringkat yang siap pada tahun 1974.

Empangan Pedu dan Muda dibangunkan pada tahun 1969 bawah skim perairan muda bertujuan membekalkan air ke kawasan MADA seluas 96,000 ha untuk melaksanakan tanaman padi dua kali setahun.

Empangan Ahning juga dibina bagi menampung keperluan domestik dan industri pada tahun 1991. Empangan Muda, Pedu dan Ahning masing-masing mempunyai kawasan tadahan seluas 984, 171 dan 122 km persegi dengan kapasiti takungan masing-masing 160, 1,073 dan 275 juta meter padu.

Sumber air tersebut perlu dikira dengan baik untuk kegunaan kawasan utara Semenanjung masa hadapan. Perancangan awal dengan baik oleh pemimpin terdahulu perlu diberikan perhatian oleh pemimpin sekarang untuk menjaga dan menambah baik sesuai dengan teknologi terkini.

Perhatian segera perlu diberi bagi memulihkan kemusnahan yang telah dilakukan dan menghentikan segala aktiviti yang boleh mengancam kemusnahan kawasan Ulu Muda. Ini sangat penting bagi menjaga alam sekitar, hutan, sistem air tawar dan kawasan pantai serta lautan. Kepelbagaian biologi dalam ketiga-tiga ekosistem ini perlu dijaga dengan baik demi kesejahteraan manusia akan datang. Perhatian yang diberi oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Dana Sedunia Alam Semula Jadi (WWF) perlu diberikan pertimbangan yang saksama oleh pihak bertanggungjawab.

Laporan kajian tentang Ulu Muda sudahpun dibuat oleh pelbagai pihak termasuk Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) pada 1992 dan WWF pada 2014.

Daripada laporan tersebut, sudah memadai untuk dijadikan panduan kepada semua pihak untuk mewartakan kawasan Ulu Muda sebagai hutan yang tidak boleh diganggu dan mempunyai kepentingan kepada sumber air untuk domestik, pertanian dan perusahaan, pemuliharaan hidupan liar dan kepelbagaian biologi amnya. Hutan berkenaan juga boleh dimanfaatkan sebagai destinasi ekopelancongan yang merupakan sumber pendapatan penting dalam pemuliharaan alam semula jadi serta kepentingan alam sekitar lainnya.

Daripada kajian menunjukkan sebanyak 31 spesies haiwan dikesan berhampiran sira dan tiga daripadanya adalah spesies terancam mengikut senarai Kesatuan Antarabangsa Bagi Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN).

Kelawar juga merupakan mamalia terbang yang penting dalam pendebungaan dan penyebaran biji benih dan sangat penting dalam kejutureraan genetik secara semula jadi.

Lebih 50 spesies kelawar dilaporkan di hutan Ulu Muda dan masih banyak kajian tentang kelawar perlu dijalankan. Hutan Ulu Muda juga menjadi habitat kepada lebih daripada 170 spesies burung dan yang menjadi tarikan dunia ialah 10 spesies burung enggang terdapat di Ulu Muda.

Selain haiwan terestrial (daratan), ikan dalam empangan dan sungai juga menarik perhatian pemancing. Selain haiwan vertebrata, madu lebah sudah lama menjadi ikon kepada Hutan Pedu. Madu tualang dilaporkan mempunyai kualiti madu yang lebih baik berbanding madu yang popular di dunia.

Daripada sumber semula jadi Hutan Ulu Muda ini sudah nampak untuk ia dilindungi dan menjadi tarikan pelancong domestik dan antabangsa.

Oleh kerana hutan Ulu Muda yang terdiri daripada tujuh hutan simpan mempunyai kepentingan ekonomi dan kesejahteraan manusia sekarang dan selamanya, maka ia mesti dilindungi dan dipulihara.

Generasi muda sepatutnya memperjuang hak mereka untuk hutan ini supaya diwartakan, disimpan dan dijaga sampai bila-bila.

Banyak cadangan untuk menjaga kelestarian hutan ini.

Antaranya adalah mengenal pasti tempat-tempat sensitif seperti sira, mempunyai sistem kawalan hutan yang sempurna termasuklah antaranya aktiviti perburuan haram dan ekopelancongan, menyediakan kawasan penampan, melibatkan semua pihak dalam memastikan kelestarian hutan dan memberikan pendidikan serta kesedaran kepentingan hutan kepada orang awam.

Hutan Hujan Tropika Ulu Muda yang berusia lebih daripada 170 juta tahun, kaya dengan kepelbagaian biologi dan sumber air maka mestilah dijaga dengan sempurna. Kajian saintifik secara berkala mestilah dilakukan bagi melengkapkan maklumat tentang hutan ini.

Pihak yang berminat menjaga warisan negara ini bolehlah tampil untuk menaja kajian saintifik yang akan dijalankan.