Pada 2015, Indonesia terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM140 bilion sementara Singapura pula dianggarkan mengalami kerugian berjumlah RM2. 4 bilion juta dalam tempoh masa yang sama.

Walau bagaimanapun, pada 1997 jerebu Asia Timur Selatan yang melanda selama tiga bulan menyebabkan Malaysia menanggung kos sebanyak kira-kira RM901 juta.

Beberapa punca yang dikenali sejak lama dulu adalah disebabkan pembakaran terbuka dari negara jiran, pembakaran hutan, pembebasan asap oleh kilang dan pengeluaran gas daripada kilang.

Dalam usaha mencari punca jerebu serta cara mengatasi fenemona itu, Akademi Sains Malaysia (ASM) sejak 17 November 2015 telah menubuhkan satu pasukan petugas khas mengenai jerebu (ASM H-TF) untuk menjalankan kajian intensif dan kajian semula episod jerebu sebagai panduan kepada kementerian yang berkaitan, pihak berkepentingan dan kerajaan dalam mencari punca dan penyelesaian kepada isu pencemaran tersebut.

Pasukan petugas ini terbahagi kepada tiga kumpulan kerja yang menjalankan penilaian terhadap kualiti udara; episod jerebu dan kesan terhadap kesihatan, pertanian, pengangkutan, pelancongan dan sektor ekonomi lain; kawasan pengurusan tanah gambut serta penukaran sisa biomas kepada tenaga bio

Menurut Pengerusi Pasukan Petugas Khas Jerebu, ASM, Prof. Datuk Ir. Dr. Abu Bakar Jaafar, antara tugas ahli kumpulan adalah menguruskan kawasan tanah gambut dengan memberi tumpuan khusus mengenai keperluan untuk menguruskan kawasan itu dengan meningkatkan pengurusan air  bukan sahaja semasa musim kering tetapi juga  dengan menyalurkan air banjir ke kawasan gambut pada musim hujan.

Dalam pada itu juga, pasukan tersebut juga perlu melihat keupayaan untuk meningkatkan ekonomi dalam memperluaskan penggunaan sisa biomas dalam pelbagai industri terutama dalam bidang elektrik, bahan api hidrogen atau bio tenaga seperti etanol. 

Cadangan tersebut jelasnya, tidak terlalu bergantung kepada penguatkuasaan dasar dan rangka kerja undang-undang yang sedia ada tetapi lebih kepada mencipta nilai daripada bahan biomas yang tidak bazirkan atau dibakar dengan menghantarnya ke unit mudah alih penukaran sampah ke tenaga atau ke kemudahan sisa ke tenaga berpusat untuk bayaran atau dibayar oleh pemilik kemudahan kepada peneroka, petani, atau penanam.

Menerusi kajian yang dilakukan oleh pasukan tersebut, Abu Bakar menjelaskan, jerebu berpunca daripada beberapa faktor antaranya kualiti udara dan episod jerebu.

“Jerebu tidak hanya memberi kesan kepada negara-negara di rantau ini tetapi juga di negara luar.

Bukan itu sahaja, apabila jerebu melanda pasti memberi kesan kepada kesihatan, ekonomi, pertanian, alam sekitar dan biodiversiti.

“Harus diingatkan bahawa jerebu bukanlah terjadi atas faktor semula jadi sebaliknya banyak kajian membuktikan fenomena jerebu disebabkan pencemaran atmosfera terutama hasil aktiviti antropogenik.

“El Nino tidak boleh dikatakan sebagai penyebab jerebu. Apabila kita mengkaji tentang isu ini dengan lebih mendalam akan melibatkan perkara-perkara berkaitan sosio-ekonomi, ekologi dan isu tadbir urus yang memerlukan pelbagai pendekatan termasuk politik, tadbir urus yang baik serta penglibatan diplomasi sains di peringkat tempatan dan serantau,” katanya.

Kedengaran bunyinya pelik tetapi itulah realitinya apabila kawasan gambut dan pengurusan air yang tidak cekap juga menyumbang kepada fenomena jerebu.

Kawasan gambut dan pengurusan air dikenali sebagai salah satu sumber utama zarah miniscule yang membentuk jerebu lintas sempadan.

Katanya, kebakaran gambut berkait rapat dengan episod jerebu. Simpanan gambut tropika biasanya terdiri dari karbon yang terbentuk sejak lebih daripada 6,000 tahun lalu dari kayu hutan tropika dan tumbuh-tumbuhan dan jadual air yang tinggi diperlukan untuk mengekalkan kandungan air.

“Gambut mengandungi kandungan organik yang sangat tinggi iaitu antara 90 peratus dalam banyak kawasan dan jika tidak diuruskan dengan betul akan  menghasilkan api dengan mudah,” jelasnya.

Tambahnya, gambut mempunyai kepentingan dalam sosio ekonomi dan biodiversiti yang tinggi terutama untuk tujuan pengekstrakan kayu dan pertanian di negara ini.

Kandungan air dan organik yang sangat tinggi boleh menyebabkan penyelesaian yang tidak sama rata. Oleh itu, reka bentuk yang sesuai dan kaedah pembinaan diperlukan untuk mengelakkan kekeringan dalam substrat gambut. 

“Antara punca lain kebakaran gambut berpunca dari kurangnya pengetahuan dan pemahaman tentang tanah gambut.  Masalah jerebu merentas sempadan perlu diakui. Pengurusan gambut dan saluran air yang baik perlu dilaksanakan,” ujarnya.

Punca yang ketiga terjadi apabila sisa bahan dan tenaga yang tidak digunakan dibuang begitu sahaja sedangkan berkemungkinan mempunyai fungsi lain selepas dikitar semula.

Dalam perkara berkaitan ladang, terdapat sejumlah besar sisa biomas (atau sisa) terhasil daripada pembersihan, penanaman, penuaian tanah dan menanam semula proses sepanjang hayat perladangan.

“Sisa-sisa ini sering dibakar kerana proses tersebut lebih cepat, mudah dan murah. Namun tanpa disedari tindakan tersebut menyumbang kepada jerebu. 

“Kajian ini antara lain turut meneroka kemungkinan penggunaan sisa biomas yang dihasilkan semasa pembersihan tanah agar memiliki nilai dalam produk bio yang lebih tinggi kepada peladang dan petani selain mengurangkan jerebu di rantau ini,” katanya lagi.

Justeru kajian tersebut dijalankan sebagai bahan rujukan kepada diplomasi sains yang mampu menyumbang bagi membolehkan kerajaan dan pihak berkepentingan dalam membuat keputusan terbaik demi menjaga alam sekitar dan ekonomi negara.

Ini kerana keadaan jerebu yang teruk boleh membantutkan perkembangan sosio ekonomi sesebuah negara.

Beberapa cadangan dikemukakan sebagai panduan bagi mengelakkan keadaan jerebu semakin teruk sekali gus mengelakkan dari ‘menjatuhkan’ sosio ekonomi negara.

Antaranya adalah termasuk tidak membakar sisa sebaliknya menggunakannya untuk membangunkan fasiliti penukaran biomas kepada tenaga dan menyediakan persekitaran yang kondusif untuk menarik pelaburan.

“Perkara ini boleh menjadi realiti apabila wujudnya pelaburan daripada kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan kerjasama komuniti tempatan dan syarikat swasta,” ujarnya.

Selain itu, pengurusan gambut melalui saluran perairan yang baik akan mengurangkan risiko kebakaran akibat kekeringan yang melampau.

“Antara pendekatan lain yang boleh diambil adalah dengan agensi penguatkuasaan memainkan peranan dalam meningkatkan kesedaran terhadap keburukan pembakaran terbuka teruta­ma ketika musim monson barat daya yang berlangsung antara Jun hingga Oktober kapada orang awam.

“Dalam pada itu, kajian berkaitan sosial ekonomi dan implikasi undang-undang perlu diperkuatkan agar dapat mengurangkan pencemaran. Kajian perlu meliputi kesan jerebu terhadap kesihatan, sosial dan ekonomi. Kajian perlu dilakukan di kawasan yang paling terjejas.

“Bukan itu sahaja, kajian mengenai tanah gambut juga perlu diperluaskan  kerana maklumat yang ada pada masa kini masih lagi kurang terutama dari segi lokasi dan status tanah yang sedia ada.

Begitu juga dengan kajian mengenai dana untuk membangunkan biomas.

“Kajian-kajian yang dilakukan secara meluas termasuk di media sosial, lawatan tapak dan penglibatan awam yang aktif dengan agensi kerajaan boleh digunakan sebagai bahan sokongan dalam membuat polisi,” katanya lagi.