Kajian yang diketuai oleh organisasi amal alam sekitar, The Nature Conservancy mendapati bahawa antara 90 hingga 99 pe­ratus terumbu karang tersebut telah hilang sejak penjajahan British 230 tahun lalu.

Terumbu karang yang dibentuk oleh jutaan tiram atau kerang kebanyakannya berada di kawasan teluk dan perairan pesisir pantai di kawasan tropika dan sederhana di setiap negeri di Australia.

Terumbu karang itu adalah struktur hidupan kompleks yang menyediakan makanan dan tempat perlindungan bagi pelbagai spesies invertebrata dan ikan, serta membantu penapisan air dan perlindungan pantai.

“Kami sudah tahu terumbu karang berada dalam keadaan teruk di seluruh dunia dengan 85 peratus daripanya hampir lenyap atau sudah dalam kea­daan tenat.

“Kajian kami menegaskan keadaan habitat marin yang penting di Australia semakin pupus dengan kurang daripada satu peratus tiram dan 10 peratus habitat tiram batu yang tinggal,” kata Pengurus Marin The Nature Conservancy, Chris Gillies yang mengetuai kajian itu.

Pusat Penyelidikan Ekosistem Air Universiti James Cook, turut mengumumkan menyedari isu itu, dengan menamakan Great Barrier Reef sebagai ekosistem lautan paling terancam di Australia.

“Adalah benar bahawa Great Barrier Reef dan terumbu karang lain berada di bawah ancaman, tetapi terumbu karang habitat kerang merupakan yang paling teruk terancam,” jelas pusat tersebut.

Kebanyakan kemusnahan ber­­­­­laku pada 1800-an dan awal 1900-an akibat penangkapan berlebihan, pengubahsuai­an ha­bitat, wabak penyakit, spe­sies invasif dan penurunan kualiti air. – AFP