Peristiwa yang berlaku di Sungai Kim Kim banyak mengajar semua pihak agar lebih berhati-hati dalam mengendalikan pencemaran bahan kimia dalam sungai.

Kualiti air sungai mesti dipantau dari semasa ke semasa oleh pihak berwajib dan orang ramai.

Penduduk tempatan juga mesti sentiasa mengawasi kawasan mereka dan melaporkan kepada pihak berkaitan sekiranya ternampak sebarang perubahan kepada kualiti air sungai. Pengetahuan asas tentang kualiti air sudah diajar di sekolah, maka ia bukanlah suatu yang baharu.

Secara amnya kualiti air sungai adalah mengikut Indeks Kualiti Air (IKA) yang digunakan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk mengukur kebersihan dan kualiti bekalan air yang digunakan untuk kegunaan domestik, akuakultur dan pengairan.

Mengikut laporan JAS 2005, dua buah kawasan tadahan air yang tercemar teruk di Malaysia adalah Sungai Buloh dan Sungai Klang yang mempunyai IKA Kelas IV, sama dengan kualiti Sungai Sepang, Sungai Jinjang dan Sungai Kerayong.

Kajian lain juga ada dilaporkan oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjong Malim pada 2017 dan International Journal of Water 2014 tentang aktiviti manusia di kawasan berdekatan dan model pemantauan kualiti air Sungai Buloh. Laporan kajian menunjukkan Sungai Buluh berada dalam semua kelas I, II, III, IV iaitu yang paling bersih hingga paling tercemar.

Kawasan yang tercemar adalah yang berdekatan dengan industri, industri kecil dan pasar sepanjang sungai yang memberi kesan terutama kepada kandungan oksigen terlarut (DO).

Sungai-sungai ini sepatutnya sentiasa dipantau dan memastikan kualiti air bertambah baik.

Pembangunan yang pesat menyebabkan kualiti air sungai terjejas dan boleh mengganggu kesihatan manusia serta mencemarkan alam sekitar.

Penggunaan teknologi, penyelarasan pembangunan, pendididikan serta kesedaran tentang kualiti air dan penguatkuasaan undang-undang sepatutnya terus berlaku apabila IKA diperkenalkan.

Kualiti air penting untuk kebajikan masyarakat dan adalah tanggung jawab semua agensi terlibat. Mungkin JAS bertanggungjawab dalam memantau kualiti air sungai tetapi penyelesaiannya adalah secara bersepadu dan melibatkan kepakaran dan bidang kuasa agensi berkaitan.

Pencemaran Sungai Buloh dan cerita tentang penurunan kualiti air sungai, warna air yang hitam dan bau yang tidak menyenangkan memberi kesan kepada aktiviti pantai di sekitar muara sungai berkenaan.

Kawasan ini mempunyai kepentingan dalam penternakan kerang, pelancongan dan habitat kepada burung-burung pantai tempatan dan burung berhijrah.

Hampir 40 spesies burung dapat dilihat di kawasan muara Sungai Buloh dan kawasan pantai berhampiran.

Burung-burung di kawasan ini nampak jinak dan mudah didekati untuk penggambaran.

Bagi penggemar fotografi, burung di tempat ini sangat sesuai bagi mereka.

Kesatuan Antarabangsa Untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN) telah mengkelaskan burung-burung ini sebagai terancam, menghampiri ancaman dan kurang risiko terancam.

Walau apa pun status IUCN berikan, demi kualiti alam sekitar, pendapatan nelayan dan pemuliharaan kepelbagaian burung pantai, perhatian semua pihak amat diperlukan.

Bagi ahli fotografi burung, keunikan burung yang ada di kawasan Sungai Buloh ini mudah didekati dan pemandangan semasa air surut yang cantik terutama pada waktu pagi dan petang antara faktor kawasan ini menjadi tarikan mereka.

Aktiviti ini akan meningkatkan pelancong tempatan dan antarabangsa serta meningkatkan pendapatan nelayan tempatan.

Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) adalah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berasaskan alam semula jadi tertua yang ditubuhkan pada 1940 bertujuan mempromosikan pendidikan, kajian, kesedaran awam, pemuliharaan, perlindungan dan pengurusan khazanah alam semula jadi Malaysia.

Perjuangan MNS mendapat pengiktirafan dunia dengan menjadi rakan kongsi BirdLife International.

BirdLife International juga mendukung misi yang sama memulihara burung-burung, habitat dan kepelbagaian biologi seluruh dunia melalui kerjasama ke arah kelestarian dalam menggunakan sumber alam semula jadi.

MNS yang beroperasi di Taman Alam Kuala Selangor banyak membantu penduduk Kampung Sasaran Sungai Buloh membangunkan ekonomi mereka melalui penternakan kerang dan pelancongan.

Nelayan juga merupakan ahli tempatan yang menyokong MNS.

Mereka diberi pendidikan dan mampu menjadi pemandu pelancong.

Ramai pelancong datang untuk aktiviti penternakan kerang dan memerhati burung.

Kampung Sasaran Sungai Buloh adalah sebuah perkampungan nelayan yang terletak 32 kilometer dari Klang, Selangor.

Penternakan kerang merupakan aktiviti penting yang mendatangkan pendapatan utama nelayan tempatan.

Kawasan tanah lembab yang diliputi hutan paya bakau dan berdataran lumpur menjadikan Kampung Sasaran Sungai Buloh sebagai habitat penting kepada spesies burung pantai tempatan dan burung berhijrah serta burung pemangsa.

Kepentingan kawasan ini dalam penternakan kerang, habitat burung pantai dan burung berhijrah, destinasi pelancongan, aktiviti fotografi penggemar burung maka kawasan ini perlu dijaga dan diuruskan dengan baik.

Antara masalah yang dihadapi ialah pencemaran sepanjang Sungai Buloh. Aliran air perlahan dengan kecerunan antara lima hingga 10 peratus dan ada tempat-tempat yang antara 0.5 peratus hingga satu peratus menerima buangan industri, pertanian dan perumahan mempengaruhi pencemaran air sungai.

Satu program penambahbaikan perlu dilakukan bagi mengurangkan input penemaran ke Sungai Buloh.

Pemantauan berkala perlu dijalankan dan undang-undang perlu dikuatkuasakan. Penduduk tempatan dengan bantuan NGO seperti MNS boleh memulakan program pembersihan bersama penduduk dan semua agensi berkaitan.

Memandangkan kawasan muara sungai dan pantai yang produktif dan penting kepada ekonomi tempatan, kualiti air Sungai Buloh perlu dipantau dan diuruskan dengan baik.