Tapir, tenuk, cipan, kipan, badak kampung dan kuda air adalah antara beberapa nama yang dipanggil ke atas haiwan jenis mamalia ini.

Tapir Malaya atau nama saintifiknya Tapirus indicus ialah satu daripada empat spesis tapir di dunia yang hanya boleh dijumpai di Asia Tenggara seperti Utara Myanmar, Thailand, Sumatera dan Semenanjung Malaysia.

Anggaran populasi tapir di Semenanjung Malaysia kini adalah antara 1,100 hingga 1,500 ekor dan haiwan ini telah dikelaskan sebagai spesis yang dilindungi sepenuhnya.

Sebagai haiwan yang telah wujud dalam bentuk sama semenjak berjuta tahun dahulu, kini haiwan istimewa ini berhadapan dengan pelbagai ancaman termasuk ancaman semulajadi dan manusia.

Oleh itu, sebagai langkah untuk meningkatkan kesedaran orang awam terhadap kepentingan konservasi tapir, Hari Tapir Sedunia telah disambut pada 27 April setiap tahun.

Sehubungan itu, sebagai sebuah negara yang komited memulihara dan memelihara hidupan liar, beberapa agensi swasta dan kerajaan telah sama-sama berganding bahu untuk melengkapkan kelestarian biodiversiti demi kestabilan ekologi.

Kempen Kesedaran Tapir Malaya 2016 adalah inisiatif untuk menyemarakkan kesedaran masyarakat telah dilaksanakan oleh pusat beli-belah Publika, Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta Pertubuhan Pengurusan Seni Visual dan Muzium Artsemble Kuala Lumpur dan Selangor (Artsemble).

Kempen yang dijalankan dalam bentuk pameran kesenian ini mempamerkan 3,000 patung tapir kecil yang diperbuat daripada tanah liat oleh pelajar sekolah dari seluruh negara bermula 18 April hingga 8 Mei ini.

Menurut salah seorang pengasas Artsemble, Chong Kean Foong, projek yang mula dilaksanakan pada September 2014 itu adalah bertujuan menyedarkan orang ramai terutama golongan muda mengenai spesis terancam itu.

Katanya, projek yang diusahakan persatuannya itu bermula di peringkat akar umbi iaitu dengan melakukan lawatan ke tadika dan sekolah serta pusat seni menerusi aktiviti perkongsian maklumat mengenai Tapir Malaya.

“Selain berkongsi maklumat, kami juga mengajar kanak-kanak dan pelajar sekolah untuk menghasilkan rekaan tapir menggunakan tanah liat.

“Bagi pameran ini pula, kami mempamerkan 3,000 patung tapir kerana ia melambangkan jumlah bilangan Tapir Malaya yang masih ada di negara ini,” katanya semasa majlis pelancaran Kempen Kesedaran Tapir Malaya 2016 di Publika, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Ir. Hamim Samuri; Ketua Pegawai Eksekutif, Komersial EUM Sunrise, Raymond Cheah dan Pengarah Eksekutif MNS, IS Shanmugaraj.

Tambah Kean Foong, sebagai kumpulan yang menghasilkan karya seni, apa yang diharapkan menerusi kempen berkenaan adalah untuk menarik perhatian masyarakat akan isu spesis terancam tersebut.

“Secara tidak langsung, kami juga berharap agar projek konservasi seperti ini dapat diteruskan lagi di masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Hamim berkata, kementeriannya menyedari akan masalah spesies haiwan yang terancam itu dan telah menjalankan beberapa usaha untuk melindungi dan memulihara kelestarian Tapir Malaya.

Katanya, antara usaha yang dijalankan ialah melalui pelaksanaan Program Safe Tapir Crossing (STC) iaitu inisiatif Jabatan Perhilitan dalam mengurangkan kejadian kemalangan melibatkan tapir di jalan raya.

“Seterusnya, Program Menyelamat Tapir juga dilaksanakan di kawasan-kawasan hutan terkepung yang dikenalpasti mempunyai populasi tapir.

“Selain itu, kaji selidik populasi dan taburan tapir bagi mengetahui populasi yang terkini di habitat semulajadi terutama di kawasan hutan yang terganggu turut dijalankan,” katanya.

Jelasnya lagi, maklumat penggunaan habitat dan kawasan keliaran bagi tapir yang dilepaskan semula juga dikumpulkan bagi perancangan usaha konservasi tapir seterusnya.

Dalam pada itu, Hamim juga memberitahu, dalam bidang pembiakan dan pengurusan tapir dalam kurungan, Malaysia telah menjalinkan kerjasama dengan Jepun.

“Sepasang tapir telah dihantar ke Nagasaki Biopark pada 5 Disember 2015 bagi program kerjasama selama 10 tahun.

“Kerjasama ini memberi peluang kepada pegawai dan kakitangan sokongan menjalani latihan di sana setiap tahun bagi mempelajari pengurusan taman dan program pembiakan menggunakan teknologi terkini,” katanya.