Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Air Darul Aman (SADA), Ahmad Hakimi Abu Bakar berkata, pihaknya menerima aduan daripada penduduk di situ kira-kira pukul 12.50 tengah hari kelmarin apabila mereka mendakwa bekalan air paip ke rumah masing-masing bercampur minyak.

“Setibanya kami di sana, kakitangan bertugas mendapati terdapat kira-kira 20 rumah di situ berdepan dengan masalah tersebut.

“Pemeriksaan lanjut kemudiannya mendapati ada pihak yang membuang minyak terpakai ke dalam ruang injap udara yang terletak di salah sebuah lorong di taman perumahan itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut katanya, pihaknya telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu petang kelmarin.

“Disebabkan tindakan tidak bertanggungjawab itu, kami terpaksa menjalankan penyelenggaraan dan cucian menyeluruh terhadap sistem terjejas yang memakan masa kira-kira dua jam 30 minit.

“Lebih dari itu, kami juga perlu mencuci tetiang meter air di setiap rumah terlibat. Tindakan itu bukan hanya menyusahkan malah turut mendatangkan kerugian kerana banyak bekalan air yang tercemar,” katanya. - UTUSAN ONLINE