Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, inisiatif oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dengan kerjasama Roda Prestasi Sdn. Bhd. (RPSB) itu juga merupakan pengenalan kepada teknologi hijau di pulau tersebut.

“Ini adalah percubaan kita memperkenalkan kenderaan elektrik bagi mengurangkan pencemaran akibat penggunaan petrol dan diesel di sini.

“Difahamkan terdapat beberapa tempat yang sudah memper­kenalkan konsep ini namun dalam konteks Pulau Pangkor kita cuba promosikan (motosikal elektrik) terlebih dahulu kerana berdasarkan keadaan pulau ini, ia lebih memudahkan tujuan pengawasan dan pengurusan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Pangkor: Melestari Pengangkutan Hijau di Arena Pangkor di sini semalam.

Pada program tersebut, beliau menyerahkan replika kunci motosikal elektrik kepada 10 usahawan pelancongan daripada sektor perhotelan dan sewa kenderaan atau teksi sewa di pulau ber­kenaan.

Menurut Zambry, motosikal elektrik yang menggunakan bateri sebagai punca kuasa itu mampu bertahan sehingga 75 kilometer berbanding dengan keluasan Pulau Pangkor iaitu 18 kilometer persegi.

Katanya, dari segi kos, penggunaan motosikal elektrik itu dilihat lebih menjimatkan berbanding penggunaan petrol dan diesel.

“Daripada aspek penggunaan jalan oleh penduduk di sini, mereka mungkin bergerak antara 10 hingga 20 kilometer sehari berbanding kapasitinya yang mampu bertahan sehingga 75 kilometer.

“Ini bermakna satu bateri motosikal ini boleh digunakan dalam tiga ke empat hari bergantung kepada penggunaannya sebelum dicas semula. Selain itu, kos juga lebih murah iaitu 20 peratus daripada kos menggunakan diesel dan petrol,” katanya.

Tambah beliau, untuk fasa pertama, kerajaan negeri memfokuskan kepada usahawan pelanco­ngan agar ia dapat menjadi nilai tambah dan tarikan kepada sektor tersebut.

“Selepas ini kita akan memperluaskan kepada kelompok masyarakat yang lain termasuk persatuan khidmat masyarakat Cina dan India supaya semua penduduk dapat merasa faedahnya,” katanya.