Di sini timbul persoalan kenapa mesti berlaku dan terus berlaku dalam keadaan sekarang?

Ke mana penduduk yang terjejas akan berpindah kerana kekurangan tanah dan harganya yang semakin mahal? Apakah tindakan terhadap kumpulan penternak yang menimbulkan masalah kepada penduduk setempat sehinggakan mereka terpaksa berpindah atau terseksa dalam kehidupan harian mereka?

Perhatian kerajaan terutama dalam aspek penguatkuasaan peraturan dan undang-undang sangatlah perlu demi kesejahteraan dan keharmonian masyarakat.

Penternakan babi di negara ini sangat sensitif dengan budaya dan agama terutama majoriti masyarakat Malaysia adalah orang Melayu dan beragama Islam. Penternak babi pula majoritinya dari keturunan Cina dan tinggal di bandar atau di pinggir bandar.

Pembangunan pesat perbandaran dan kawasan perumahan juga memberi tekanan kepada pengusaha penternakan babi dan masyarakat sekitarnya. Pengusaha penternakan babi terpaksa meneruskan aktiviti mereka walaupun pembangunan terus menghimpit mereka kerana aktiviti ini adalah sebagai sumber pendapatan.

Masalahnya kes pencemaran sungai berpunca daripada penternakan babi sudah banyak dilaporkan sejak dahulu seperti di Sungai Juru di Pulau Pinang, Sungai Sepang di Selangor, Sungai Baru (Melaka) dan beberapa tempat lagi di Johor, Pulau Pinang dan Perak. Kerajaan pernah memberi amaran pada tahun 2014 kepada 542 pengusaha ladang ternakan babi di Semenanjung Malaysia supaya meningkatkan tahap kebersihan ladang dan kandang masing-masing dan mengambil tindakan sewajarnya terutama dalam mengawal penyakit berisiko tinggi seperti Japanese Encephalitis (JE).

Selalunya apabila babi yang banyak diternak dalam kawasan yang sempit akan diberikan antibiotik berterusan bagi menghalang jangkitan organisma pembawa penyakit. Amalan ini akan menggalakkan kuman lebih kerintangannya terhadap antibiotik.

Kandungan logam berat seperti zink (Zn) dan tembaga (Cu) yang dicampur dalam makanan babi juga dilaporkan tinggi dalam efluen mencemar persekitaran akuatik dan memberikan kesan keracunan kepada hidupan air.

Di samping pencemaran bahan kimia, air kumbahan daripada kandang babi juga mempunyai kandungan bakteria yang tinggi.

Semua agensi berkaitan perlu bekerjasama dan membincangkan isu pencemaran babi ini agar tidak terus menimbulkan tekanan kepada rakyat setempat, sensitiviti budaya dan agama serta kesihatan alam sekitar yang memberikan perkhidmatan kepada semua pihak.

Selain bau yang mengganggu keselesaan penduduk dan penyakit yang ditakuti membawa maut, penternakan babi juga memberikan kesan yang teruk kepada alam sekitar.

Fenomena pengayaan nutrien disebabkan oleh kelebihan nitrogen dan fosfat dalam persekitaran akuatik dan menyebabkan pertumbuhan tumbuhan di permukaan seperti alga disebut sebagai eutrofikasi.

Selalu kita lihat permukaan air sungai atau kolam mempunyai banyak alga apabila paras nitrogen dan fosforus tinggi. Di samping paras nitrogen dan fosforus tinggi dalam ekosistem akuatik di kawasan efluen penternakan babi, permintaan oksigen biologi (BOD) dan permintaan oksigen kimia (COD), ammonia, pepejal terampai dan bahan organik juga turut meningkat.

Keadaan ini menyebabkan kawasan berair berkenaan berwarna hitam, bau yang busuk dan tiada organisma akuatik yang boleh hidup. Peningkatan nilai BOD dan COD adalah hasil daripada peningkatan pelepasan bahan organik dari aktiviti ladang penternakan babi.

Kedua-dua BOD dan COD ini merupakan parameter penting bagi mengukur pencemaran air yang merupakan asas kepada jangkaan oksigen yang diperlukan dan karbon dioksida dihasilkan bagi proses biologi normal dalam ekosistem akuatik.

Oleh kerana industri penternakan babi bukanlah suatu yang baharu dan masalah penternakan babi ini juga merupakan isu global kerana permintaannya yang tinggi dan amalan penternakan dalam populasi yang padat, maka sudah tentu teknologi berkaitan sudah ada di pasaran. Sudah pasti ada teknologi bagi mengawal efluen utama seperti nutrient N, P dan logam berat.

Gas utama seperti ammonia, bau busuk dan metana yang menjadi masalah kepada masyarakat dan kesan rumah hijau mestilah dikawal.

Penyelidikan, pemantauan dan kawalan aktif mestilah dijalankan secara berterusan.

Sejauh mana pemahaman ahli sains terlibat dalam pengurusan pemakanan babi, sistem fisiologinya dan pengurusan efluen dilaksanakan oleh penternak perlu dilihat dengan lebih dekat lagi agar ilmu yang ada pada peringkat penyelidik diamalkan serta dikuatkuasakan. Dalam hal ini kerjasama agensi kerajaan dan penternak terlibat sangat diperlukan.

Sejarah Sungai Sepang menunjukkan pencemaran Cu dan Zn yang sangat tinggi dalam sedimen permukaan sungai berhampiran aktiviti penternakan babi, antara 60 hingga 70 peratus sumber Cu dan Zn adalah daripada aktiviti manusia yang mana pada masa itu aktiviti manusia yang aktif adalah penternakan babi sekitar Bulit Pelanduk.

Maklumat pencemaran Sungai Sepang dicemari aktiviti penternakan babi telah mendapat liputan luas akhbar tempatan.

Kajian pada tahun 2004 selepas penghapusan besar-besaran penternakan babi disebabkan jangkitan virus nipah, didapati paras Cu dan Zn turun mendadak dan memberikan kehidupan kepada Sungai Sepang terutama kawasan hutan bakau dan menarik aktiviti pelancongan dan rekreasi sungai.

Setiap peringkat proses penternakan babi perlu diberikan rawatan atau manipulasi bagi menyelesaikan masalah umum dan khusus.

Antaranya adalah lokasi, jarak dari kawasan penempatan, saiz populasi babi ternakan, pengurusan efluen kandang babi dan stor simpanan najis babi, manipulasi makanan dan aktiviti penternakan babi yang terlindung dan tertutup.

Tanaman pokok di keliling kawasan ternakan babi dan ladang ternakan yang tertutup adalah antara kaedah yang boleh membantu.

Secara psikologi juga apabila tidak nampak pada mata maka penduduk tempatan kurang memikirkan tentang kandang babi dan membantu dalam mengurangkan tekanan perasaan individu.

Isu bau mungkin boleh diselesaikan melalui kaedah mekanikal, biologi dan kimia yang melibatkan pengudaraan, tindak balas kimia dan mikroorganisma.

Pengurangan bau, ammonia, hidrogen sulfida dan debu juga memerlukan teknologi terbaharu.