Namun, di Malaysia, kerajaan pusat dan kerajaan negeri bergerak bersama-sama dalam membincangkan perkara mengenai hutan, penyeragaman pengurusan hutan sama ada di dalam kawasan hutan simpan kekal mahupun di luar kawasan hutan simpan kekal menerusi Majlis Tanah Negara (MTN).

MTN dipengerusikan oleh perdana menteri dan ahli-ahlinya adalah dianggotai semua menteri besar dan ketua menteri.

Justeru, biarpun hutan adalah hak milik kerajaan negeri, segala aktiviti mengenainya masih perlu diputuskan dalam majlis tersebut.

Oleh yang demikian, jika timbul isu-isu yang berkaitan soal hutan dan penggunaan tanah, pihak -pihak yang terlibat perlu meilhat kembali kepada peraturan (blue print) yang telah disediakan dan mematuhinya.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) Datuk Seri Dr. Abd. Rahman Abd. Rahim apabila timbulnya isu banjir akibat pembalakan haram secara total, hal tersebut dikatakan tidak begitu tepat, sebaliknya ini berpunca daripada pembukaan dan penerokaan tanah secara berleluasa untuk tujuan pertanian dan pembangunan.

“Tidak nafikan pembalakan secara berleluasa tidak mengikut peraturan akan menyumbang.

“Jika kita tebang hutan secara semberono akan menyebabkan kejadian hakisan tanah dan masuk ke dalam sungai seterusnya sungai akan menjadi cetek, air tersebut akan ke mana lagi jika tidak melimpah menjadi banjir,” katanya.

Beliau mengambil contoh kejadian banjir lumpur yang pernah berlaku di Cameron Highland, Pahang apabila akibat penggunaan tanah untuk pertanian secara berleluasa sekali gus memusnahkan kediaman di sekitar laluannya.

Katanya, pembinaan kawasan rumah dan penempatan di sekitar zon pemampan (buffer zon) atau tebing sungai juga sebenarnya adalah tidak mengikut peraturan sedia ada.

“Jika mengikut peraturan, 10 meter dari kiri dan kanan sungai tidak boleh ada sebarang aktiviti pembangunan, namun masih ramai yang tidak mengendahkannya.

“Isunya di sini adalah terdapat sesetengah orang yang tidak mahu mematuhi peraturan sedia ada, apabila berlakunya kejadian banjir pasti akan melibatkan kemusnahan harta benda dan nyawa,” katanya.

Beliau juga tidak menafikan kejadian tanah runtuh dan banjir lumpur juga turut berlaku di alam kawasan hutan simpan jauh di hulu akibat pembalakan, namun impaknya tidak begitu besar.

“Dalam laporan teknikal JPSM mencatatkan bahawa 30 peratus kawasan yang dibalak dikenal pasti sebagai kerosakan kepada dirian hutan namun kawasan tersebut boleh dibaik pulih atau dirawat.

“Namun, bagaimana dengan kawasan di luar hutan simpan kekal seperti tanah milik dan tanah kerajaan negeri yang dibangunkan sebagai kawasan pertanian?

“Perhatikan sahaja terdapat ladang-ladang kelapa sawit yang dibuka sehingga mencecah tebing sungai, jadi bagaimana mahu menampan aliran air bagi mencegah banjir,” katanya.

Justeru, bagaimanakah JPSM memainkan peranannya apabila rata-rata masyarakat mulai menyedari peranan hutan?

JPSM turut menganjurkan pelbagai kempen agar masyarakat bersama dengan jabatan memainkan peranan dalam menjaga hutan sama ada di luar kawasan hutan simpan kekal dan apatah lagi di dalam kawasan hutan simpan kekal.

“Jika dalam hutan simpan kekal, itu sudah pasti tanggunjawab JPSM dan masyarakat tidak perlu risau kerana setiap kerajaan negeri bersama Jabatan Perhutanan Negeri (JPN) serta Kerajaan Persekutuan sentiasa bekerjasama memeliharanya.

“Apa yang perlu dirisaukan adalah kawasan hutan di luar hutan simpan kekal yang tidak terikat dengan peraturan-peraturan pengurusan hutan simpan kekal,” katanya.

Bagi mengatasi masalah tersebut, JPSM memerlukan penglibatan agensi penguatkuasaan lain bersama sebagai satu kumpulan.

“Jika berseorangan isu seperti pembalakan haram, pembukaan tanah secara berleluasa sehingga menyebabkan bencana alam yang teruk pasti tidak akan selesai,” katanya.

Sambutan hargai khazanah hutan

Hari Hutan Antarabangsa disambut setiap tahun sebagai penghargaan terhadap sumbangan hutan kepada manusia serta bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu-isu berkaitan pemeliharaan hutan.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) Datuk Dr. Abdul Latif Mohmod berkata, pihaknya turut menganjurkan sambutan untuk berkongsi maklumat serta peranan agensi berkenaan sebagai sebuah institut penyelidikan perhutanan yang menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menyumbang kepada kemampanan khazanah hutan negara.

“Asalnya dinamakan dan diraikan sebagai Hari Perhutanan Sedunia sejak 1971 . Pada 28 November 2012, sebelum dinakan Hari Hutan Antarabangsa dan disambut mulai 2013.

“Hari perhutanan perlu diadakan selepas ahli sains merasakan dunia memandang rendah terhadap kepentingan hutan dalam mengurangkan pelepasan karbon serta melihat keperluan yang amat nyata bagi penyelidikan perhutanan. Ini telah menjadi pemangkin kepada perisytiharan sambutan tersebut,’’ ujar beliau.

Malaysia kata beliau, optimis dengan Sidang Kemuncak Dunia Mengenai Bumi di Rio de Jeneiro, Brazil pada 1992 untuk mengekalkan litupan hutan negara lebih 50 peratus sepanjang masa.

Abd. Latif berkata, FRIM juga akan terus memastikan penyelidikan pembangunan setara dan seimbang dengan keperluan negara, kehendak alam sekitar, kelestarian alam, sejahtera masyarakat dan kemampanan industri perhutanan.

``Suka atau tidak, kita perlu menerjah kaedah baru mengayakan hutan, meneroka nilai tambah baharu berteraskan hutan seperti ubat-ubatan daripada jenis bukan balak, tetapi dipanggil hasil hutan bukan kayu dan pembayaran ekosistem.

“Hutan perlu dilihat dalam satu perspektif besar dan holistik yang menjadi punca dan bermulanya sebuah kehidupan yang perlu sentiasa dijaga’’ujarnya.

FRIM juga bekerjasama dengan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan Sabah dan Sarawak serta Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar bagi mendepani isu kehilangan sumber kepelbagaian biologi, pelepasan gas rumah hijau dan perubahan iklim.

Pada Sabtu lepas, FRIM dengan kerjasama Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) mengadakan Sambutan Hari Hutan Antarabangsa yang diisi dengan pelbagai program antaranya lawatan berpandu ke denai alam FRIM serta peluang untuk melihat fenomena Crown Shyness yang terbentuk daripada susun atur silara pokok-pokok emergen yang tidak bercantuman antara satu sama lain.

“Bertemakan “Hutan dan Air”, pemilihannya tepat memandangkan hutan merupakan punca utama tadahan air, selain mencegah hakisan dan runtuhan tanah akibat aktiviti manusia,’’ katanya.

Menurutnya, tanpa hutan sebagai penampan, alam sekitar akan terjejas, menganggu kelestarian kehidupan sejagat.

Bersambung minggu depan