Laut bukan sahaja menyumbang kepada aspek ekonomi sebagai sumber pembekal makanan tetapi juga alam sekitar iaitu penstabil cuaca.

Laut juga menyumbang kepada perdagangan kerana laut menjadi laluan utama kapal dagang.

Oleh itu, semua pihak sepatutnya sedar akan kepentingan dan sumbangan laut dalam kehidupan manusia dan menjadi habitat kepada spesies marin.

Di Malaysia, pengajian mengenai hal ehwal kelautan yang juga disebut osenografi memang ditawarkan supaya kajian boelh dilakukan bagi menentukan tahap kesihatan laut, khazanah yang dimiliki dan juga sumbangannya kepada alam sekitar.

Sebuah universiti tempatan yang memberi focus kepada pengajian kelautan adalah Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Universiti berkenaan yang berfokuskan kepada ilmu kelautan serta sumber akuatik, telah mengambil inisiatif untuk mengadakan program Minggu Laut Sedunia (WOW) yang diadakan sempena dengan World Oceans Day yang disambut di seluruh dunia setiap tahun. Hari Laut Sedunia merupakan aktiviti kesedaran mengenai laut peringkat global.

Hari Laut Sedunia disambut pada 8 Jun setiap tahun bermula pada tahun 2008 oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu hasil daripada usul negara Kanada dalam Sidang Kemuncak Dunia Mengenai Bumi pada 1992 di Rio de Janeiro, Brazil. Ia diletakkan bawah kelolaan Projek Laut Rangkaian Lautan Sedunia dan telah mendapat sokongan dari banyak negara dan berjalan dengan lancar.

Pada peringkat UMT, WOW yang dirasmikan oleh Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Nor Aieni Mokhtar membabitkan sebanyak 36 program sepanjang minggu penganjuran bermula 31 Mac sehingga 13 Julai ini.

Pengisian program adalah menjurus kepada ujian tahap keyakinan pelajar berhadapan dengan risiko ketika berada di laut serta pendedahan terhadap usaha bagi menjaga warisan juga khazanah laut.

Sementara itu menurut Dr Nor Aieni, sebagai sebuah kampus yang begitu unik, terletak di pesisir Laut China Selatan, UMT amat sinonim dengan laut dari segi geografi.

“Kami juga adalah peneraju utama ilmu kelautan dan sains akuatik di dalam negara.

“Sebagai sebuah universiti awam, UMT menjalankan pelbagai kajian berkaitan laut dan sains marin daripada peringkat diploma sehinggalah peringkat sarjana dan doktor falsafah

“UMT sentiasa ingin menghampiri komuniti dalam membimbing mereka terhadap isu-isu penting berkaitan dengan laut dan persekitaran marin,” ujarnya.

Oleh kerana itu, kata beliau UMT adalah satu-satunya universiti yang mengangkat WOW sebagai aktiviti tahunan dan menjadi peneraju kepada aktiviti-aktiviti kesedaran berkaitan laut dan persekitaran marin di Malaysia.

Bicara Berirama terjemahkan matlamat WOW 2017

Sempena sambutan Minggu Laut Sedunia 2017 (WOW 2017 ) yang disambut setiap tahun oleh UMT, universiti berkenaan menganjurkan pertandingan Bicara Berirama (choral speaking) peringkat kebangsaan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), yang melibatkan pelajar-pelajar dari sekolah berasrama penuh dan sekolah kecemerlangan seluruh negara.

Ini merupakan penglibatan kali pertama seumpamanya melibatkan pelajar daripada sekolah-sekolah berkenaan untuk bertanding pada platform yang sama.

Penganjurannya juga bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat dan pelajar tentang kepentingan menjaga dan memulihara laut. Ia juga bertujuan memberi peluang kepada golongan tersebut terlibat secara langsung bersama UMT dalam melindungi alam sekitar juga menyemai semangat untuk bersama melindungi biodiversiti marin.

Pertandingan tersebut adalah dalam bentuk persembahan bahasa puisi atau prosa secara berkumpulan. Pasukan akan membentuk satu paduan suara tematik yang menghayati hasrat atau tema untuk diperdengar kepada audiens, kesepaduan dan keseragaman bersuara ini akan dikawal oleh seorang peserta yang bertindak sebagai konduktor.

Sementara itu, program WOW 2017 UMT mendapat dukungan pusat pengajian dan institut kecemerlangan universiti berkenaan dengan pengisian pelbagai aktiviti berkaitan kelautan alam sekitar.

Sebagai contoh penganjuran Survival Laut dan Penghayatan Warisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) oleh Pusat Pembangunan Holistik dan Kaunseling, Bicara Kesedaran Laut (Pusat Komunikasi Korporat), Selamatkan Penyu Laut (Unit Penyelidikan Penyu Laut - SEATRU).

Program lain termasuklah antaranya Pameran Spesimen Laut dan Kesedaran Alam Sekitar pertandingan mewarna kanak kanak bertemakan laut dan juga pertandingan membina istana pasir oleh Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS).

Dalam pada itu, Dekan Pusat Pengajian Sains Marin dan Sekitaran UMT, Prof. Madya Dr. Marinah Mohd. Ariffin berkata, pengisian program kali ini diberi nilai tambah dengan pengenalan Bicara Berirama.

Penganjurannya adalah sejajar dengan matlamat WOW 2017 yang ingin memperkasa bidang sains marin menerusi medium bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar.

Beliau berkata, sebelum ini sambutan WOW juga memperkenal program Kem Kepimpinan Sains Marin melibatkan dua pelajar daripada 69 buah sekolah berasrama penuh dengan matlamat memupuk dan meningkatkan penghayatan terhadap hidupan laut dalam.

“Usaha memupuk minat pelajar mencintai alam sekitar perlu dimulakan pada peringkat muda.

“Dalam masa sama apabila mereka memasuki alam unversiti kelak, mereka memilih bidang sains marin,’’ ujarnya.

Yang turut hadir Timbalan Setiausaha (Bahagian Teknologi Strategik dan Aplikasi) MOSTI, Kapten Zaharuddin Mohd. Maideen; dan Ketua Jabatan, Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan, Kementeran Pendidikan, Datuk Rashidah Md. Arif.