Pelbagai tema telah diperkenal sejak sambutan dimulakan pada tahun 1972. Hari Alam Sekitar Sedunia disambut pada 5 Jun setiap tahun dengan membawa tema yang berbeza-beza mengikut trend atau isu semasa sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Program Alam Sekitar, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNEP).

Hari Alam Sekitar Sedunia yang disambut sejak pada tahun 1972 ini telah mendapat sokongan dunia dan berkembang menjadi peristiwa tahunan utama seluruh dunia. Program yang diiktiraf PBB itu bertujuan meningkatkan tahap kesedaran masyarakat terhadap isu alam sekitar serta meningkatkan tindakan dan penglibatan masyarakat terhadap perubahan alam sekitar.

Hari Alam Sekitar memberi peluang kepada semua pihak untuk mengambil bahagian dalam menggalakkan perlindungan alam semula jadi, respons terhadap perubahan iklim, menggunakan sumber dengan lestari serta mengamalkan gaya hidup yang mesra alam.

Pada tahun ini tema Connecting to Nature dipilih bagi menggalakkan masyarakat memahami alam semula jadi dengan meningkatkan aktiviti lapangan dan mengunjungi taman-taman semula jadi seperti taman negara, taman rekreasi, merentas hutan, menaiki gunung, menyusuri sungai dan sebagainya.

Dengan menghubungkan manusia dan alam semula jadi, ia akan dapat meningkatkan pengetahuan dan kesedaran terhadap aktiviti pemuliharaan. Dengan melihat sendiri hutan atau alam semula jadi, maka semua orang dapat memahami akan kepentingan hutan atau sumber alam semula jadi untuk kesejahteraan manusia sekarang dan masa hadapan.

Kefahaman masyarakat amnya terutama masyarakat tempatan tentang alam semula jadi di keliling mereka akan dapat menjadi ejen dalam pemantauan untuk tujuan perlindungan dan pemuliharaan serta memastikan kelestariannya terpelihara.

Keupayaan masyarakat berfikir secara bersepadu akan menyedarkan mereka tentang isu-isu alam sekitar seperti perubahan cuaca, pemanasan global, kesan rumah hijau, kepentingan sumber semula jadi dalam pertanian, perubatan, kosmetik dan hal-hal lain yang secara langsung atau tidak memberikan kesan kepada kehidupan manusia.

Sejauh mana taman negara dan taman rekreasi berasaskan alam semula jadi bersedia menerima masyarakat pelbagai lapisan untuk menyambut Hari Alam Sekitar Sedunia di kawasan mereka memerlukan penelitian yang mendalam.

Pihak berkenaan mestilah menyediakan kemudahan dan panduan terbaik bagi mendidik pelawat dan memandu mereka agar hutan atau sumber alam semula jadi tidak dirosakkan dan mencapai objektif sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia.

Kebetulan tema Hari Alam Sekitar Sedunia tahun ini seiring dengan tema Hari Biodiversiti Sedunia yang menggalakkan pelancongan berasaskan alam semula jadi.

Tahun ini juga beberapa buah negeri telah melancarkan tahun melawat negeri. Misalnya Tahun Melawat Terengganu 2017, Tahun Melawat Pahang 2017, Tahun Melawat Perak 2017 dan lain-lain. Ada juga yang melancarkan tahun melawat daerah seperti Tahun Melawat Daerah Hulu Selangor 2017.

Kebanyakan negeri dan daerah yang menganjurkan program tahun melawat 2017 mempunyai kawasan alam semula jadi yang menarik. Pahang dengan Taman Negara yang sudah terkenal sejak berpuluh-puluj tahun, Perak yang terkenal dengan Royal Belum dan Terengganu pula terkenal dengan Tasik Kenyir, manakala Hulu Selangor terkenal dengan aktiviti sungai, air terjun dan memerhati burung. Secara amnya, kebanyakan negeri ini sangat kaya dengan alam semula jadi.

Tambahan lagi Malaysia berada pada kedudukan ke-12 teratas dalam mega biodiversiti dunia. Adalah wajar bagi semua negeri di negara ini mengambil kesempatan menggunakan tema sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia dan Hari Biodversiti ini sebagai fokus kepada alam semula jadi dan menjadikan aset berkenaan untuk pemuliharaan dan pelancongan.

Kita tahu aktiviti pelancongan merupakan antara sumber janaan ekonomi negara yang penting dan alam semula jadi sebagai sumber ekopelancongan

Justeru Hari Alam Sekitar Sedunia perlu melibatkan semua pihak untuk meningkatkan kesedaran global mengenai kepentingan alam semula jadi kepada manusia dan kehidupan dan mengambil tindakan positif sewajarnya terhadap alam sekitar.

Program yang bawah kendalian UNEP menerusi Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Alam Sekitar Manusia yang bermula 5 hingga 16 Jun 1972 sepatutnya melibatkan bukan sahaja agensi kerajaan tetapi juga seluruh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sekolah dan swasta. Isu alam sekitar dan alam semula jadi adalah isu sejagat maka semua pihak mesti terlibat. Agensi kerajaan yang bertanggungjawab mestilah menyelaraskan aktiviti tahunan ini.

Malaysia mesti mempunyai satu sekretariat khas untuk menyelaras semua aktiviti berkaitan alam sekitar dan alam semula jadi yang disambut pada peringkat antarabangsa setiap bulan atau tahun.

Mungkin dengan kaedah ini penglibatan masyarakat Malaysia akan lebih menyeluruh dan bersepadu tentang penjagaan alam sekitar.

Dekatkan masyarakat 
dengan alam sekitar

Kementerian Sumber 
Asli dan Alam Sekitar, menerusi Jabatan Alam Sekitar (JAS) setiap tahun menyambut Hari Alam Sekitar Sedunia yang juga melibatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sekolah.

Antara aktiviti yang dianjurkan adalah menerusi Rakan Alam sekitar (RAS). Program RAS telah dilancarkan pada 4 Jun 2009, merupakan inisiatif kementerian berkenaan dalam meningkatkan kesedaran dan menggerakkan masyarakat dalam aktiviti pemuliharaan dan pemeliharaan alam 
sekitar.

RAS menggalakkan penglibatan masyarakat secara praktikal iaitu menjadi ‘mata dan telinga’ untuk membantu agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam membanteras kegiatan yang merosakkan atau mencemarkan alam sekitar. Aktiviti seperti RAS ini sepatutnya berterusan dan melibatkan NGO dan sekolah. Sekiranya kerajaan mempunyai sekretariat khas, aktiviti berkaitan alam sekitar boleh diselaraskan dan melibatkan ramai pihak serta pengisian aktivitinya berterusan.

Aktiviti sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia ini juga perlu diteliti dan dinilai pencapaiannya. Kita tidak sahaja menyambut hari berkenaan tetapi mestilah membuat analisis kesan daripada aktiviti yang dijalankan.

Misalnya pada tahun lepas, kita menyambut Hari Alam Sekitar Sedunia bertemakan Memerangi Penyeludupan Hidupan Liar. Sejauh mana promosi tentang perburuan haram dan penyeludupan hidupan liar difahami orang ramai dan pengurangan aktiviti berkenaan sepanjang tahun ini.

Begitu juga sejauh mana aktiviti perlindungan habitat hidupan liar oleh pihak berkuasa telah dilakukan dan mendapat sokongan daripada masyarakat. Suara rakyat umumnya tentang hidupan liar dan pemuliharaannya perlu lebih kuat dan membantu menjayakan dasar kerajaan.

Kita juga selalu melihat aktiviti menanam pokok sempena Hari Alam Sekitar Sedunia dan sambutan hari-hari lain. Sejauh mana pokok yang ditanam itu dapat dijaga dan dapat mencapai objektif aktiviti penanaman.

Begitu juga dengan aktiviti pembersihan pantai. Sejauh mana rakyat prihatin dengan sampah di pantai terutama yang menjadi tumpuan pelancong dan tempat pendaratan penyu.

Tema Connecting 
to Nature akan menggalakkan perhubungan masyarakat dengan alam semula jadi. Tambahan pula, dengan aktifnya aktiviti ekopelancongan, maka tindakan kerajaan menilai pencapaian ini secara bersepadu amatlah 
penting.

Mungkin kita boleh menggunakan pihak yang aktif terlibat dalam sambutan Hari Alam Sekitar ini seperti pelajar sekolah, NGO dan swasta juga, memberikan laporan pencapaian aktiviti tahun sebelumya kepada sekretariat kerajaan. Satu kaedah perlu digunakan bagi mengukur dan menilai pencapaian objektif aktiviti yang dilakukan.

Secara amnya, matlamat Hari Alam Sekitar Sedunia yang diiktiraf oleh Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu UNEP ini dilaksanakan oleh seluruh rakyat Malaysia.

Apakah isu alam sekitar tempatan yang boleh kita tangani bagi memastikan kelestariannya sama ada dari peringkat polisi, peraturan, 
dan perlaksanaannya, melibatkan agensi kerajaan, swasta, NGO dan masyarakat amnya?

Penjagaan alam 
sekitar adalah tanggung jawab semua.

Tahukah anda?

  • Taman Negara merupakan kawasan yang dilindungi pertama di Semenanjung Malaysia diisytiharkan pada 1938.
  • Taman Negara mempunyai banyak keindahan semula jadi yang asal dan belum diterokai termasuk penduduk Orang Asli. Aktiviti menghayati alam semula jadi menerusi merentas hutan, menyusur sungai dan melihat keindahan kanopi hutan boleh didapati di Taman Negara.
  • Hutan dara Taman Negara juga merupakan habitat hidupan liar yang penting negara.
  • Taman Negara juga merupakan hutan yang tertua di dunia berusia lebih 130 juta tahun yang merupakan suatu ekosistem yang kaya dan kompleks.
  • Tasik Kenyir di Terengganu juga merupakan suatu destinasi pelancongan utama negara.
  • Tasik Kenyir merupakan tasik buatan yang dibina pada tahun 1985. Selain menjadi tasik tadahan air, Tasik Kenyir menjadi tarikan pelancong dunia untuk menikmati keindahan alam semula jadi dan hidupan liar. Bagi peminat memancing ikan, Tasik Kenyir merupakan antara destinasi yang menarik.
  • Taman Negeri Royal Belum pula diisytiharkan sebagai kawasan yang dilindungi pada 3 May 2007 merupakan kawasan baharu yang bersempadan dengan Thailand menjadi tarikan baharu pelancong.
  • Luas kawasan merangkumi 117,500 hektar ini merupakan antara kawasan yang tertua di dunia iaitu melebihi 130 juta tahun. Kawasan hutan Royal Belum ini merupakan kawasan yang sangat sesuai untuk menikmati keindahan hutan dara dan haiwan liar yang unik.
  • Antara haiwan yang penting ialah 10 spesies burung enggang, seladang, harimau, gajah, tapir dan beruang matahari.
  • Di Royal Belum juga terdapat kumpulan Orang Asli yang boleh dilawati dan tidak ketinggalan Tasik Banding dan sungai sekitarnya boleh menjadi tumpuan kaki pancing. Dari segi kepelbagaian flora dan fauna, Royal Belum merupakan tarikan baharu ahli sains dan pecinta alam semula jadi.