Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau Ir Rosli Othman berkata kerja-kerja tersebut dilakukan sejak awal pagi tadi melibatkan beberapa kampung iaitu Kampung Baru Kanan dan Kampung Baru Kiri.

“Banjir yang berlaku di kawasan Kemasik ini kerana dua faktor iaitu limpahan air sungai dan sistem saliran yang mana kita telah kenal pasti ada beberapa kawasan longkang dan parit perlu didalamkan dan dilebarkan.

“Saya dah minta supaya kerja-kerja ini dilakukan segera hari ini dan mesin serta jentolak telah dihantar untuk mendalamkan longkang dan parit...mungkin selepas ini tak akan berlaku penambahan keluarga dan mangsa yang berpindah lagi kalau cuaca juga dalam keadaan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Pemindahan Banjir Sekolah Menengah Kebangsaan Badrul Alam Shah, Kemasik.

Turut sama meninjau mangsa banjir, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu Left Kol Che Adam A Rahman.

Terdahulu, Rosli turut turun padang meninjau kerja-kerja mendalamkan sistem saliran di kawasan yang terjejas akibat bencana banjir itu.

Rosli berkata banjir kali kedua yang melanda kawasan tersebut turut disebabkan oleh penambakan tanah yang tidak terkawal oleh beberapa pihak yang membina rumah.

“Sebenarnya sebelum ini dah ada longkang yang dibina tetapi sekarang banyak orang tambun tanah yang mana dahulu tanah tersebut merupakan tanah pertanian, sekarang mereka pecah lot buat rumah dan kawasan takungan air dah tak ada...sebab tu berlaku macam ini,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai banjir yang berlaku, Che Adam berkata ia tidak terlalu serius apabila dua daripada empat pusat pemindahan telah ditutup sejak semalam.

“Banjir ini tak terlalu serius kerana kesedaran komuniti yang mengambil tindakan untuk berpindah awal dapat mengurangkan risiko buruk berlaku...ini yang kita puji penduduk dan pemimpin setempat kerana mereka telah bersedia lebih awal,” katanya. - BERNAMA