Mamalia sepanjang 4.5 meter dan 122 sentimeter lebar itu ditemukan seorang nelayan tempatan pada kira-kira pukul 4.55 pagi sebelum memaklumkan perkara berkenaan kepada anggota polis di Pondok Polis Indarasan dekat sini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Negeri Sabah, Kol. (PA) Kamal Mokhtar berkata, sepasukan anggota dari Pusat Kawalan Operasi Daerah Kudat segera bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 5.05 pagi.

“Sebaik tiba di sana, pihak kami mendapati ikan paus jenis Bryde Whale itu masih hidup dan terdampar di tepi pantai.

“Seterusnya para petugas bersama agensi terlibat dan penduduk kampung membantu menyiram air laut ke arah ikan paus berkenaan bagi mengelakkan ia mati,” katanya dalam satu kenyataan.

Kamal berkata, selepas memastikan tahap kestabilan hidupan laut terbabit, akhirnya ia berjaya dilepaskan semula ke laut dengan selamat.

“Antara agensi yang terlibat dalam operasi itu ialah pasukan polis, Taman-Taman Sabah dan Jabatan Perikanan dan operasi itu tamat pukul 10.08 pagi,” jelasnya.