Harimau Malaya mempunyai keistimewaan tersendiri kerana hanya boleh ditemukan di negara ini.

Memiliki berat badan antara 90 hingga 130 kilogram, fizikal harimau Malaya adalah antara paling kecil dalam kalangan sembilan sub spesies harimau yang pernah atau masih hidup di muka bumi ini.

Nasib harimau Malaya di negara kita tidaklah seindah skuad bola sepak kebangsaan yang sentiasa dijulang dan diraikan ketika bertempur dalam satu-satu perlawanan.

Hakikatnya, harimau Malaya diancam pemburuan haram yang mengakibatkan haiwan itu bakal berdepan nasib sama seperti harimau Bali, harimau Caspian dan harimau Jawa yang telah pupus berdekad lamanya.

Di negara kita, hanya terdapat dua individu yang diiktiraf kepakarannya terhadap harimau dan kedua-duanya adalah antara individu yang paling komited terhadap 
usaha pemeliharaan dan perlindungan harimau di Malaysia.

Salah seorang daripadanya adalah Ketua Landskap Harimau, Tabung Alam Malaysia (WWF-Malaysia), Dr. Mark Rayan Darmaraj.

Dalam pertemuan singkat dengan S2 baru-baru ini, Mark mendedahkan realiti sebenar populasi harimau Malaya menepati jangkaan pihaknya iaitu semakin berkurangan setiap tahun.

Katanya, pengurangan populasi haiwan tersebut di negara ini berlaku amat pantas dan terlalu drastik.

“Ada dua faktor paling besar iaitu pemburuan haram, ancaman sumber makanan dan kemusnahan hutan yang tidak pernah menemui titik penamat.

“Kira-kira 15 tahun lalu, dianggarkan terdapat lebih 
500 ekor harimau Malaya 
di Malaysia termasuk di Kompleks Hutan Belum - Temenggor, Taman Negara Endau Rompin dan Taman Negara Pahang.

“Pada 2009 hingga 2011, WWF-Malaysia telah membuat kaji selidik untuk mendapatkan maklumat tentang populasi harimau.

“Menerusi kajian yang hanya tertumpu di Kompleks Hutan Belum - Temenggor itu, kami dapati sekurang-kurangnya 50 ekor harimau masih mendiami kawasan tersebut ketika itu.

“Kami mengesan penurunan populasi (harimau) sehingga 50 peratus menerusi kaji selidik bagi tahun 2015 hingga kini. Bayangkan pengurangan drastik berlaku, hanya dalam tempoh beberapa tahun sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, Mark tidak menolak nasib malang yang menimpa populasi harimau Malaya di Kompleks Hutan Belum - Temenggor turut berlaku di hutan lain di 
seluruh Semenanjung 
Malaysia.

“Kompleks Hutan Belum - Temenggor adalah antara tiga habitat utama harimau di negara ini. Namun amat memeranjatkan apabila populasi harimau di situ terus berkurangan secara drastik,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mark memberitahu pemburuan haram dan kemusnahan hutan menjadi antara sebab mengapa harimau Malaya semakin berkurangan.