Pelancaran program tersebut ialah bagi melaksanakan satu inisiatif baharu kesinambungan kepada program Recycle to Cycle yang diadakan di universiti berkenaan sejak 2013. 

Kali ini melibatkan universiti awam terpilih iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Tun Huseein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan UPM. Universiti terpilih diberikan satu pusat kitar semula untuk memulakan satu kempen yang berkesan tentang gaya hidup kitar semula dalam kampus.

Seorang pakar alam sekitar tempatan, Dr. Ahmad Ismail berkata, budaya kitar semula dalam kampus diharapkan akan berterusan apabila siswazah mengamalkannya di tempat kerja dan komuniti mereka nanti. Program [email protected] ini ditaja oleh Coca-cola Malaysia sebagai meneruskan tajaan mereka bagi aktiviti Recycle to Cycle di UPM sebelumnya.

“Sempena Hari Bumi tahun ini dengan tema Pendidikan Alam Sekitar dan Iklim menekankan pentingnya pendidikan terutama pelajar sekolah dan universiti di seluruh dunia,’’ ujarnya. Beliau berkata, status dasar alam sekitar Malaysia misalnya mestilah mantap dan jelas strategi pelaksanaannya.

“Daripada apa yang sedang ditunjukkan oleh masyarakat Malaysia sekarang nampak seperti dasar kerajaan belum lagi cukup berkesan.

“Walaupun telah banyak usaha dilakukan dari segi, dasar dan strategi, undang-undang dan penguatkuasaan, perancangan dan perlaksanaan pembangunan serta pendidikan dan promosi tentang alam sekitar dari segi penjagaan alam sekitar, kebersihan, kesihatan manusia dan alam sekitar serta perlindungan alam semula jadi.

Menurut beliau lagi , laporan kajian literatur yang diterbitkan dalam Life Science Journal pada tahun 2012 tentang pengetahuan, kesedaran, dan sikap terhadap aspek alam sekitar dalam sistem pendidikan Malaysia serta cabaran berkaitan, menunjukkan kita masih lagi mempunyai jurang yang besar antara faktor tersebut atas dengan kearah amalan penjagaan alam sekitar yang baik.

“Banyak perkara lagi perlu dibuat tentang pendidikan alam sekitar di Malaysia secara bersepadu dan sistematik.

“Dalam hal ini, guru sangat penting bagi membantu meningkatkan pengetahuan dan kesedaran serta jurang kesedaran dalam kalangan masyarakat awam. Guru yang baik dengan kemahiran dan pengetahuan yang tinggi akan memberikan pendidikan yang lebih efektif. Namun faktor kewangan sangat penting bagi menjayakan hasrat berkenaan,’’ kata beliau lagi.

Dalam meneruskan pendidikan abad ke-21 dan menyediakan masyarakat negara maju Malaysia dan Transformasi Nasional 2050 (TN50), isu pendidikan alam sekitar dan kelestariannya mestilah mantap. Menerusi Dasar Ekonomi Baru (DEB) 1971-1990, Malaysia merancang membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan menghapus pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi. Program telah berjalan dengan baik walaupun gangguan terhadap alam sekitar terus berlaku.

Kesungguhan kerajaan membangun Malaysia berterusan melalui Wawasan 2020 bagi menjadikan Malaysia sebuah negara maju mengikut acuan sendiri melalui program 30 tahun dari 1991 hingga 2020. Seiring dengan pembangunan ke arah sebuah negara maju kerajaan memperkenal berbagai-bagai pendekatan bagi menjaga alam sekitar kita.

Menerusi program baharu Transformasi Nasional 2050 (TN50) selama 30 tahun dari 2021-2050, kerajaan ingin menjadikan Malaysia sebuah negara 20 teratas dalam pembangunan ekonomi, kemajuan sosial dan inovasi. Program TN 50 akan dibangunkan mengikut aspirasi rakyat. Kepercayaan kepada rakyat untuk memberikan pandangan kepada TN50 kerana kerajaan beranggapan bahawa rakyat Malaysia sudah mempunyai pendedahan dan pengetahuan asas tentang sebuah negara maju, taraf ekonomi yang mampu berubah dan mempunyai wasasan yang jelas serta mampu merancang untuk 30 tahun akan datang. Kemudahan melalui media komunikasi semasa meyakinkan kerajaan kepada rakyat membuat keputusan. Justeru itu pendidikan perlu dimantapkan. Apabila kita melihat kepada kesejahteraan rakyat masa hadapan maka isu pendidikan alam sekitar dan iklim mesti diperkasa. Pengetahuan dan kemahiran guru mesti dipertingkat secara lebih agresif sebagai satu usaha untuk membentuk masa depan Malaysia bagi tempoh 2021 hingga 2050. Dari sebuah negara maju, kita harus menyasar untuk menjadi antara negara teratas di tangga dunia dalam ekonomi, kesejahteraan rakyat dan inovasi.

Oleh kerana pendidikan alam sekitar adalah kritikal dan merupakan kunci utama dalam penjagaan alam sekitar maka menjadi tanggungjawab semua orang mesti bersama membantu dalam usaha pendidikan alam sekitar. Walaupun di Malaysia sudah mempunyai komponen alam sekitar dalam sistem pendidikan tetapi kajian, ubah suai dan tindakan segera perlu dilakukan bagi memastikan pendidikan berkesan dan masyarakat Malaysia seluruhnya mengamalkan budaya yang sihat berkaitan kebersihan alam sekitar.

Kenapa pendidikan alam sekitar dan iklim sangat diperlukan? Kita selalu membaca dan berbincang tentang kesan alam sekitar dan perubahan kepada kepelbagaian biologi, kesan gas rumah hijau akibat aktiviti manusia dan tapak pelupusan sampah. Tapak pelupusan sampah juga memberikan kesan kepada kesihatan manusia melalui pencemaran air dan udara.

Kempen yang dilakukan bagi mengurangkan kesan kepada isu alam sekitar ialah mengamalkan kitar semula dan buangan sifar (zero waste). Bagaimana kita boleh amalkan buangan sifar dalam kehidupan kita seharian? Mungkin kita mesti faham apa yang berlaku kepada bumi dan penghuninya. Dengan kefahaman itu mereka akan faham, mempunyai kesedaran, sentiasa beringat dan mengamalkannya. Kita tiada pilihan lain lagi selain daripada mengelakkan daripada membenarkan sampah ke tapak pelupusan sampah dan sampah berada di mana-mana.

Sampah sumbang pemanasan bumi

Sejauh mana tapak pelupusan sampah menyumbang kepada pemanasan bumi? Sampah adalah penyumbang utama kepada pemanasan bumi. Sisa pepejal adalah antara sumber gas metana (CH4) buatan manusia yang terbesar. Gas metana merupakan gas rumah hijau yang penting memerangkap haba 23 kali ganda berbanding karbon dioksida (CO2). Ini membuatkan keadaan persekitaran kita semakin panas dan menyumbang kepada perubahan iklim.

Amalan kitar semula dapat menjimatkan tenaga dan jika tidak diamalkan, satu hari nanti akan mendatangkan krisis kepada kehidupan kita.

Misalnya tin aluminium boleh menjimatkan 95 peratus tenaga yang diperlukan bagi membuat jumlah yang sama bahan daripada aluminium daripada sumber asal bauksit.

Dengan mengamalkan kitar semula tin aluminium kita boleh menyelamatkan 36 tong minyak atau 1,665 gelen petrol.

Amalan kitar semula juga memang akan menyumbang kepada isu iklim dengan mengurangkan gas rumah hijau (GHG) menerusi pengurangan penggunaan tenaga dan bahan asas membuat bahan yang boleh dikitar semula. Dr. Ahmad Ismail berkata, pengurangan GHG daripada aktiviti tapak pelupusan memberi kesan kepada pemanasan global dan perubahan iklim.

“Amalan kitar semula dapat mengurangkan metana daripada dikeluarkan oleh tapak pelupusan,’’ ujarnya

Bagaimana kita dapat menyumbang kepada pengurangan GHG? Semua mestilah mengamalkan lima perkara penting iaitu mengelakkan daripada mempunyai sampah, mengurangkan menggunakan barangan yang boleh menjadi sampah, menggunakan semula barangan yang sedia ada, mengamalkan aktiviti kitar semula kertas, plastik, logam, bahan elektronik dan bahan-bahan lain yang boleh dikitar semula dan menjadikan bahan buangan sebagai kompos melului proses pereputan semula jadi. Bermula sekarang pengguna boleh menyemak berapa banyak sampah yang kita keluarkan setiap hari. Berdasarkan statistik pada masa ini, kira-kira 1.5 kilogram sehari bagi setiap orang mungkin kita mampu untuk amalkan buangan sifar.

Apabila pengguna sudah mengamalkan lima perkara tersebut mereka tidak mempunyai sampah yang banyak. Sampah yang sangat sedikit itu akan ke tapak pelupusan sampah dan menjimatkan kawasan, pengangkutan dan mengurangkan kesan alam sekitar seperti pencemaran udara dan air. Sekiranya kerajaan tempatan mempunyai teknologi yang baik bagi memproses sampah maka pengguna akan lebih selamat pada masa depan untuk kesejahteraan yang lebih baik.

Mungkin boleh diamalkan beberapa perkara bagi membantu pengurusan dan amalan buangan sifar. Antaranya ialah kita tiada sampah, kita tidak membawa balik sampah ke rumah, elakkan membawa barangan berbungkus plastik ke rumah, rancang pembelian keperluan dapur, bawa bekas atau beg guna semula ke pasar, uruskan peti sejuk sebelum ke pasar, amalkan 5R (refuse, reduce, reuse, recycle, rotting).