Agensi Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar itu baru-baru ini menganjurkan program Go Green FRIM Siri ke-2 bagi membolehkan peserta diperkenalkan kepada kepelbagaian pokok dipterocarp di FRIM, selain diberi peluang mengutip anak-anak pokok liar dan ditunjuk cara penyediaan media untuk stok tanaman.

Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr. Abd. Latif Mohmod berkata, program tersebut merupakan sebahagian daripada aktiviti jerayawara (outreach) yang dilaksanakan untuk penglibatan komuniti di sekitar kawasan FRIM bagi meningkatkan ke sedaran serta sokongan mereka terhadap usaha pemuliharaan hutan dan alam sekitar.

“Kami akan meneruskan usaha untuk melibatkan ketua-ketua serta ahli-ahli komuniti yang tinggal berhampiran kampus FRIM, mereka yang datang mengadakan aktiviti riadah serta pihak-pihak berkepentingan.

“Ini penting kerana masih ada dalam kalangan mereka yang mungkin tidak sedar kepentingan hutan FRIM,” katanya.

Beliau berkata FRIM berhasrat menjadi pusat pembelajaran bagi generasi muda untuk menjelajah hutan melalui aktiviti-aktiviti pendidikan alam sekitar, mempelajari mengenai spesies-spesies tumbuhan yang penting dan memupuk rasa sayangkan kekayaan kepelbagaian biologi hutan kita.

“Kami mempunyai kepakaran serta kemudahan untuk penganjuran pelbagai aktiviti pendidikan alam sekitar di dalam kampus FRIM,” kata beliau lagi.

Abd. Latif berharap, program seumpama itu dapat menimbulkan rasa minat terhadap mata pelajaran sains yang semakin berkurangan dalam kalangan pelajar sekarang.

Aktiviti tersebut merupakan asas kepada pembangunan landskap yang penting dalam pembangunan showcase garden. Pelajar akan diperkenalkan kepada kepelbagaian pokok dipterokarpa di Tapak Warisan FRIM serta menyediakan bahan tanaman yang ditabungkan sebagai stok bahan tanaman.

Program yang dikendalikan oleh Program Pengurusan Tapak Warisan FRIM (FRIM-WHS) melibatkan pelajar sekolah berhampiran dengan kampus FRIM di Kepong. Ia merupakan aktiviti hands-on bagi pengutipan koleksi anak pokok-pokok liar di bawah pembangunan bank baka Tapak Warisan FRIM bagi dipterokarpa.

Sementara itu, Ketua Komunikasi Korporat FRIM, Norhayati Nordin berkata, penglibatan golongan muda dalam penganjuran penghijauan boleh menjadi pembuka jalan dan penerus kepada usaha pemuliharaan alam sekitar.

Program seperti itu kata beliau, memupuk rasa bahawa hutan adalah milik bersama dan dalam masa yang sama, diharap dapat memupuk minat pelajar terhadap sains.

“Kita mahu memupuk kecintaan pelajar supaya mereka meminati bidang sains,” ujarnya.

Antara aktviti yang diadakan selama sehari itu adalah teknik pengutipan anak pokok liar di lapangan, demonstrasi penyediaan media tanaman, menabung koleksi anak liar serta melabel polibeg.

Bagi Penolong Pegawai Penyelidik FRIM yang juga tenaga pengajar, Sadali Sahat, aktiviti tersebut membimbing pelajar mempelajari jenis- jenis atau spesies pokok dan cara mengendalikan anak pokok.

“Kita menunjuk ajar mereka cara mengutip anak pokok liar, cara betul mencabut anak pokok sebab ia penting apabila pegawai (Unesco) bertanya apa yang dilakukan dalam aspek pemuliharaan,” ujarnya.

Bagi Pengurus Tapak Semaian FRIM, Mohd. Ramly Mohd. Saleh, aktiviti penyediaan media tanaman penting bagi mendedahkan pelajar bagaimana menanam dan mengendalikan anak pokok yang dikutip untuk tujuan pemuliharaan. 
– LAUPA JUNUS