Penemuan berkenaan menjadikan sebanyak 25 kes kematian haiwan tersebut direkodkan tahun ini yang kebanyakannya dipercayai akibat perbuatan pemburu haram.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar negeri, Augustine Tuuga berkata, bangkai terbaru haiwan itu yang telah mereput ditemukan di Tongod Sabtu lalu.

“Haiwan berkenaan dipercayai berusia 12 hingga 15 tahun dan dianggarkan telah mati sejak seminggu lalu.

“Terdapat satu kesan yang dipercayai akibat tembakan di tempurung kepala gajah betina itu dan kita difahamkan daripada kesan tembakan senapang patah, namun tiada sebutir peluru berjaya ditemukan,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Menurut Augustine sampel telah diambil daripada bangkai haiwan itu untuk diuji bagi mengesan punca sebenar kematiannya.

Katanya, ujian makmal terhadap sampel bangkai-bangkai gajah yang ditemukan sebelum ini tiada kaitan degan bakteria atau racun.

Sementara itu menurutnya, jabatan berkenaan menawarkan hadiah wang tunai sehingga RM120,000 kepada mana-mana individu yang memberikan maklumat serta bukti tentang aktiviti pemburuan gajah.

“Kami amat berharap dapat menangkap pemburu-pemburu tersebut, namun tiada mana-mana pihak yang tampil memberikan bukti malah tawaran ini telah diberikan sejak lima tahun lalu,” tambahnya. - UTUSAN ONLINE