Menurut laporan Jabatan Meteorologi Malaysia, fe­nomena itu berlaku akibat fasa monsun barat daya yang mendominasi kea­daan cuaca di negara ini sepanjang tempoh berkenaan.

“Sepanjang Ogos, kebanyakan tempat di Semenanjung akan menerima hujan pada paras normal dengan jumlah 150 mililiter (mm) hingga 250 mm kecuali di beberapa tempat di Perak (tengah hingga selatan), Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang dijangka menerima hujan di bawah paras normal antara 100 mm dan 150 mm.

“Namun hujan lebat, ribut petir berserta angin kencang boleh berlaku di kawasan perairan pantai barat Semenanjung Malaysia pada awal pagi berikutan pembentukan garis badai yang dikenali sebagai ‘Sumatras’,” menurut laporan di laman web agensi berkenaan.

Sementara itu pada September, kebanyakan tempat di Semenanjung Malaysia dijangka menerima jumlah hujan pada paras normal antara 150 mm hingga 250 mm.

Menurut laporan itu lagi, beberapa kawasan di pedalaman Semenanjung Malaysia termasuk Perlis, Kedah dan Pulau Pinang pula dijangka menerima hujan antara 250mm hingga 350mm.

Sementara itu pada Oktober, fenomena fasa peralihan monsun diramal bermula dengan keadaan cuaca lembab, hujan dan ribut petir serta angin kencang dijangka berlaku pada lewat petang dan awal malam terutama di nege­ri pantai barat dan pedalaman Semenanjung, pantai barat Sabah serta kawasan barat dan tengah Sarawak.

“Fenomena ini akan menyaksikan beberapa tempat di Semenanjung seperti Kedah, Pulau Pinang, utara Perak, pedalaman Kelantan dan Pa­hang dijangka menerima ta­buran hujan me­lebihi paras normal 400 mm,” katanya.

Ramalan itu juga merekodkan beberapa siri hujan lebat menyeluruh terutama di negeri pantai timur Semenanjung dan barat Sarawak bermula November hingga Mac 2019 akibat Monsun Timur Laut yang secara konsisten membawa angin dari timur laut dengan kelajuan antara 10 dan 20 kilometer (km) sejam. – BERNAMA