Sikap prihatin dan amalan ini perlu ada pada semua orang memandangkan alam sekitar adalah tempat tinggal yang sepatutnya selesa dan selamat jauh daripada pencemaran dan bencana.

Bagi memastikan semua rakyat hidup selesa dan selamat, maka kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) banyak menjalankan aktiviti memberi pengetahuan dan kesedaran untuk diamalkan oleh semua orang agar alam sekitar kita terus menerus, bersih, selamat dan selesa untuk generasi akan datang, terutamanya dua perkara asas iaitu bekalan air dan udara bersih yang berterusan.

Setiap tahun, pada 5 Disember masyarakat dunia membincangkan tentang kesukarelawan. Antara aktiviti kesukarelawan adalah menjaga alam sekitar atau memberi pengetahuan serta kesedaran tentang alam sekitar untuk semua orang. Mungkin isu-isu alam sekitar pada tahun lalu telah dibincangkan dalam media massa atau dalam mana-mana majlis yang dihadiri boleh disenaraikan dan pilih mana-mana isu bagi diketengahkan untuk penambahbaikan.

Dalam sebuah negara demokrasi, semua orang boleh memberi pandangan dan melakukan sesuatu untuk kebaikan semua orang. Malah boleh memilih peringkat mana yang ingin disumbangkan berdasarkan kepada kemampuan semasa.

Misalnya mengajak orang lain bersama memikirkan dan mengamalkan kebersihan alam sekitar, memberi pendidikan dan kesedaran kepada awam, atau mereka cipta kaedah atau peralatan yang boleh membantu menyelesaikan isu alam sekitar.

Ini semua bergantung kepada minat, peluang, pengetahuan asas dan kewangan.

Tambahan pula dalam dunia sekarang menerusi pelbagai teknologi komunikasi dan inovasi semua orang berpeluang memberikan sumbangan mereka. Paling kurang dengan melaporkan isu-isu alam sekitar dalam media sosial untuk tindakan segera orang ramai dan pihak berkuasa. Malah isu alam sekitar ini juga boleh menyediakan peluang kerjaya. Aktiviti pendidikan alam sekitar berbentuk perkhemahan, pelancongan, kitar semula dan banyak lagi boleh menjadikan penggiatnya sebagai usahawan.

Setiap tahun banyak aktiviti sambutan atau kempen berkaitan alam sekitar di peringkat tempatan atau antarabangsa. Antaranya adalah pada bulan Januari menumpukan kepada tenaga.

Tenaga memang menjadi perhatian dunia kerana sumber aslinya yang semakin berkurangan dan perlu penerokaan sumber tenaga boleh diperbaharui (RE). Generasi muda dengan kreativiti dan inovasi mereka bolehlah memikirkan sumber RE seperti angin, air, ombak, haba dan sumber biologi yang boleh ditukar kepada tenaga elektrik, selain kempen kesedaran dan penjimatan tenaga. Ini adalah cabaran terkini bagi generasi baharu.

Pada 2 Februari pula perhatian kepada Hari Tanah Lembab Sedunia. Pada tahun ini, tumpuan mungkin kepada tanah lembab untuk kelestarian masa hadapan bandar.

Pembangunan pesat industri dan perbandaran memberi tekanan kepada kawasan tanah lembab yang. makin berkurangan sama ada diambil untuk pembangunan atau tercemar oleh aktiviti manusia.

Masyarakat masa hadapan memerlukan kawasan tanah lembab yang bersih untuk rekreasi, pelancongan, sumber ekonomi dan sumber biologinya.

Semua tapak ramsar di Malaysia perlu diberi perhatian pada bulan Februari nanti.

Selain itu, perlu juga diberi perhatian serius kepada kawasan tanah lembab lain yang berpotensi seperti Taman Alam di Kuala Selangor, Setiu di Terengganu, dan Kuala Gula serta Matang di Perak, Merbok di Kedah serta lembangan sungai.

Mungkin masyarakat Malaysia sudah biasa dengan sambutan Hari Bumi dan Hari Hutan Antarabangsa dengan aktiviti menanam pokok, kempen kesedaran dan sebagainya tetapi kurang dengan aktiviti Hari Penghijrahan Ikan Sedunia.

Ikan adalah sumber protein yang penting dan ikan yang berhijrah untuk melengkapkan pusingan hidupnya perlu diberikan perhatian umum.

Malaysia meraikan Hari Burung Hijrah pada bulan Oktober serrta Pesta Sayap yang dianjurkan oleh Persatuan Pecinta Alam (MNS). Raptor Watch juga dianjurkan oleh MNS.

Ia diraikan kerana penghijrahan burung ke Hemisfier Utara bulan Mac dan dari Utara pada bulan Oktober setiap tahun. Walaupun tidak banyak aktiviti pada bulan Jun tetapi nama Hari Alam Sekitar Sedunia yang disambut pada 5 Jun sudah popular dan sambutannya meluas dalam kalangan masyarakat termasuk NGO, pihak sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT).

Dalam pada itu, seluruh negara menyambut aktiviti berkaitan alam sekitar dengan pelbagai cara bagi meningkatkan pengetahuan, kesedaran dan amalan alam sekitar yang sihat pada Minggu Alam Sekitar Malaysia (MASM) yang diadkaan pada bulan Oktober.

Bulan November dan Disember agak berkurangan kerana aktiviti yang ada lebih kepada kempen kesedaran, pemantauan kualiti alam sekitar dan aktiviti kesukarelawan.

Gabungan 31 NGO berkaitan alam sekitar (MENGO) juga turut menyemarakkan sambutan hari-hari istimewa mengikut fokus mereka dan menjadi penghubung antara NGO dengan kerajaan berkaitan polisi dan aktiviti berkaitan alam sekitar.

Manusia ganggu alam sekitar 

Malaysia dikenali dunia sebagai sebuah negara yang kaya kepelbagaian biologi. Lebih kurang antara 59 hingga 70 peratus daripada jumlah tanah negara adalah hutan hujan tropika dan 11.6 peratus masih lagi asli. Malaysia masih mempunyai lebih 564,900 hektar hutan bakau dan tempat keenam di dunia selepas Indonesia (3,062,000 hektar), Australia (1,451,000 hektar), Brazil (1,012,000 hektar), Nigeria (997,700 hektar) dan Mexico (882,000 hektar). Malaysia mempunyai lebih daripada 15,500 spesies tumbuhan tinggi, 740 spesies burung, 380 spesies reptilia, 190 amfibia dan 360 spesies ikan. Malaysia juga terdapat lebih daripada 285 spesies mamalia dengan 27 spesies endemik dan 51 spesies terancam.

Gangguan manusia merupakan faktor utama mengancam alam semula jadi melalui pembukaan tanah untuk pertanian, perhutanan, perindustrian, dan perbandaran. Kejadian tanah runtuh, banjir, jerebu, perubahan cuaca, hakisan pantai dan kesan rumah hijau adalah antara kesan kemusnahan hutan.

Komitmen Malaysia di peringkat dunia jelas melalui persetujuan pelbagai perjanjian seperti Konvensyen Kepelbagaian Biologi, Konvensyen Kerangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNFCCC), Spesies Terancam, Bahan Buangan

Berbahaya, Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu tentang Undang-Undang Laut, Tanah Lembab dan lain-lain. 

Malaysia juga memperkasa undang-undang berkaitan alam sekitar dan pemuliharaan seperti, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Akta Perhutanan Negara 1984, Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 di samping pelbagai  polisi lain.

Aktiviti yang disenaraikan itu  penting disokong oleh semua pihak. Alam sekitar untuk kesejahteraan dan kedaulatan negara kita maka sama-samalah kita menjaganya.