Sejak itu, Hari Bumi disambut pada setiap tahun dengan pelbagai tema dan aktiviti. Yang lazim dilakukan masyarakat ialah aktiviti menanam pokok. Pernah dicadangkan setiap orang mesti menanam sebanyak dua batang pokok sepanjang hayatnya sebagai tanda sumbangan kepada kemusnahan pokok-pokok akibat pembangunan.

Pokok memainkan peranan penting dalam keseimbangan sesuatu ekosistem. Selain aktiviti menanam pokok, banyak lagi perkara boleh dijalankan sama ada dalam bentuk pendidikan di pelbagai peringkat atau menyuarakan pandangan kepada kerajana melakukan sesuatu bagi menyelamatkan bumi daripada bencana alam, pencemaran dan untuk kesejahteraan manusia.

Sesuai dengan sambutan Hari Bumi selepas menyambut Hari Air, Hari Hutan Antarabangsa dan Hari Hidupan Liar Sedunia dalam bulan Mac, maka seluruh masyarakat sudah mempunyai momentum dari segi pengetahuan, kesedaran, semangat dan amalan dalam pemuliharan sumber semula jadi.

Sekiranya ini berlaku dalam kalangan masyarakat Malaysia, maka isu pencemaran alam sekitar dan penebangan hutan dapat dikurangkan serta pemuliharaan habitat untuk hidupan liar dan air akan dapat diperkasakan.

Sambutan Hari Bumi yang hampir 50 tahun ini menerusi pelbagai tema yang telah dipersetujui. Antaranya ialah keselamatan lapisan ozon, udara bersih, wilayah, pemuliharaan, perlindungan kepelbagaian biologi, kesepakatan untuk mengurangi pencemaran dan mencegah perubahan iklim. Asas kepada sebahagian daripada tema yang disebutkan itu adalah pemuliharaan hutan atau habitat yang boleh mengancam kesejahteraan manusia.

Memang hasrat Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyatakan pada tanggal 22 April sambutan Hari Bumi untuk meluaskan kesedaran tentang alam sekitar yang mendalam berkaitan bumi dan ekosistemnya. Selain itu, PBB mahu serta melahirkan generasi aktivis alam sekitar yang baharu agar berbagai kepakaran berkaitan alam sekitar peringkat tempatan, kebangsaan atau antarabangsa terus tercipta.

Bagi mencapai hasrat tersebut perkara penting yang mesti dilakukan ialah pendidikan dan penyelidikan.

Pendekatan pendedahan maklumat Hari Bumi mestilah dipelbagaikan bagi menarik minat masyarakat menyertai dan mengamalkan hal-hal berkaitan keselamatan bumi. Dalam era media baharu ini proses menyampaikan maklumat lebih mudah dan cepat.

Apa yang diperlukan ialah idea dan kreativiti dalam menyampaikan maklumat berkesan.

Program pendidikan alam sekitar sangat penting dan mestilah berterusan disesuaikan dengan kehendak generasi.

Tahun lepas PBB memberikan penekanan kepada literasi alam sekitar untuk semua lapisan masyarakat dengan tema literasi alam sekitar dan perubahan cuaca.

Kejayaan di Malaysia boleh diukur sejauh mana masyarakat umum bercakap tentang alam sekitar dan mengamalkannya. Dengan tanpa pendidikan, masyarakat tidak mempunyai pengetahuan dan data untuk menyokong polisi kerajaan.

Tambahan lagi tema Hari Bumi pada tahun 2018 ini sangat mencabar semua masyarakat di dunia. Tamatkan Pencemaran Plastik (Ending Plastic Pollution) adalah sangat sukar untuk dijayakan. Ini kerana dalam kehidupan seharian kita tidak dapat lari daripada menggunakan bahan berasaskan plastik. Selain peralatan, perabot dan barangan elektronik yang kebanyakkannya melibatkan plastik, barang makanan harian juga dibungkus dengan plastik. Bagi memastikan tiada pencemaran plastik pengetahuan dan disiplin yang tinggi diperlukan.

Isu pencemaran plastik hangat dibincangkan dalam media dan forum terkini.

Plastik boleh menyebabkan keracunan dan kecederaan hidupan laut hinggalah mengganggu sistem hormon manusia. Daripada membuat sampah di pantai dan landskap hinggalah menyebabkan saliran tersumbat dan memenuhi tapak pelupusan sampah, pertambahan penggunaan plastik dan pencemaran plastik sekarang mengancam keselamatan bumi.

Bagi menjawab persoalan tema Hari Bumi 2018 ini maklumat dan inspirasi sangat perlu sebagai asas kepada perubahan sikap, gaya hidup manusia tentang plastik dan mengurangkan pencemaran plastik yang signifikan. Kempen dunia tanpa pencemaran plastik mesti dipergiatkan dari sekarang.

Strategi untuk tamatkan pencemaran plastik atau pengurusan penggunaan plastik yang berkesan antaranya ialah menyokong program antarabangsa tentang peraturan mengenai plastik, mendidik dan mengerakkan seluruh rakyat menuntut kerajaan dan korporat untuk mengawal pencemaran plastik, menggerakkan seluruh rakyat untuk mengamalkan menolak, mengurangkan, menggunakan semula dan mengitar semula plastik (reject, reduce, reuse and recycle plastic), bekerjasama dengan universiti, guru dan murid untuk tamatkan pencemaran plastik, bekerjasama dengan organisasi lain dan jaringannya untuk menjadikan Hari Bumi 2018 ini sebagai jalan untuk menamatkan pencemaran plastik.

Kerajaan tempatan perlu mengambil tindakan terhadap pencemaran plastik, menggerakkan semua pemberita seluruh dunia melaporkan masalah plastik dan penyelesaiannya.

Plastik tidak mudah mereput

Secara amnya, kita perlu menyasarkan supaya rakyat di pelbagai peringkat umur memahami tentang alam sekitar, hidupan liar, cuaca dan kesihatan akibat daripada penggunaan plastik. Tahun lepas Hari Bumi telah mempromosikan literasi alam sekitar dengan harapan pendidikan berlaku berterusan.

Semua pihak termasuklah antaranya pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pemimpin tempatan, komuniti kampus, artis, atlet dan pelajar serta guru mereka mesti aktif menggerakkan semangat dan amalan menguruskan plastik ke arah tiada pencemaran plastik.

Sekarang dianggarkan sebanyak 300 juta tan plastik dihasilkan setiap tahun untuk membuat beg, botol, pembungkus dan lain-lain untuk kegunana kita.

Lebih kurang 10 peratus daripada plastik itu dikitar dan diguna semula.

Selebihnya berakhir di tapak pelupusan sampah dan alam semula jadi.

Malangnya bahan kimia berbahaya dalam plastik terhakis ke tanah dan air yang mana akan membahayakan hidupan liar dan seumpamanya.

Akhirnya bahan kimia ini berkumpul di dalam organisma sepanjang rantai makanan dan boleh memberikan kesan kepada kesihatan manusia. Jaringan Hari Bumi ingin menyebar luaskan pengetahuan ini untuk kesedaran awam tentang pencemaran plastik dan bahayanya kepada alam sekitar termasuk manusia. Umum mengetahui plastik tidak mudah mereput.

Antara alasan penting kempen tamatkan pencemaran plastik mesti dilaksanakan segera ialah pencemaran plastik membahayakan hidupan laut.

Di Jepun misalnya, kuantiti plastik terapung bertambah 10 kali ganda dalam masa 10 tahun antara 1970 dan 1980 dan kemudiannya 10 kali setiap dua atau tiga tahun dalam tahun 1990-an.

Aliran semasa (trend)pertambahan pencemaran plastik di lautan sama di seluruh dunia. Plastik di lautan boleh mencederakan ikan, burung laut dan mamalia laut.

Kajian menunjukkan plastik di laut telah memberikan kesan kepada 267 spesies haiwan laut seluruh dunia, termasuk penyu (86 peratus), peratus burung laut (44 peratus) dan mamalia laut (43 peratus) akibat di makan oleh haiwan, lemas dan terjerat.

Berdasarkan peristiwa tersebut maka Hari Bumi 2018 memfokuskan kepada tamatkan pencemaran plastik.