Shariffa Sabrina Syed Agil
Shariffa Sabrina Syed Agil

Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Agil, berkata, hutan amat penting sebagai kawasan tadahan air serta agen penyerap gas rumah hijau yang utama. Justeru, katanya, ia perlu dijaga dan tidak diganggu.

“Pemusnahan berskala besar mengakibatkan hutan hujan tropika yang dahulunya 16 peratus meliputi bumi, kini tinggal lapan peratus. Ini berpunca daripada tindakan manusia yang sanggup mengorbankan alam semula jadi demi kepentingan sendiri.

“Oleh yang demikian, Peka Malaysia sentiasa ke hadapan dalam membanteras aktiviti pembalakan yang tidak terkawal serta pembukaan tanah secara haram di hutan. Aktiviti (kemusnahan) ini akan membawa bencana besar kepada manusia dan haiwan,” katanya kepada S2.

Shariffa menambah, kesedaran masyarakat tentang perlindungan alam semula jadi masih rendah pada masa kini. Katanya, oleh kerana itu, kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta agensi swasta perlu secara berterusan menjalankan usaha untuk menanam kesedaran kepada orang ramai.

“Peka Malaysia tidak ketinggalan dalam merangka pelbagai program serta kempen untuk mencapai matlamat tersebut. Contohnya, setiap tahun pihak kami melaksanakan program Save Our Rainforest Race untuk menggalakkan masyarakat masuk ke hutan dan melihat keindahan yang terdapat di dalamnya.

"Selain itu, Peka Malaysia turut bekerjasama dengan NGO lain dan kerajaan untuk menggalakkan amalan menanam pokok atau tumbuhan dalam kalangan masyarakat menerusi kempen yang dilaksanakan secara berterusan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Shariffa mencadangkan pemeliharaan dan pemuliharaan alam semula jadi termasuk hutan dibentuk sebagai satu sukatan pelajaran dalam sistem pendidikan negara.

Katanya, sistem tersebut akan menanam rasa tanggungjawab yang lebih mendalam terhadap penjagaan alam semula jadi dalam kalangan generasi muda.

“Australia dan negara-negara lain di Eropah sudah lama mewujudkan sukatan pelajaran ini dalam sistem pendidikan awal mereka. Sudah tiba masanya, Malaysia mencontohi mereka agar generasi baharu tidak memandang ringan soal khazanah alam.

“Pada masa yang sama, Malaysia juga perlu memperketatkan lagi penguatkuasaan untuk memastikan hutan tidak dimusnahkan dan diceroboh sesuka hati,” katanya.