Ini kerana lapisan ais di kawasan berkenaan didapati mulai meretak dengan pantas dan bakal hanyut menjadi aisberg.

Setelah bertahun membuat pemerhatian, rekahan tersebut akhirnya pecah sepenuhnya dan terpisah baru-baru ini, sekali gus membentuk aisberg paling besar pernah terjadi di benua Antartika.

Aisberg berkeluasan 5,800 kilometer persegi yang terbentuk itu dianggarkan sama luas dengan negeri Delaware yang terletak di Amerika Syarikat (AS).

Ekoran itu, saintis mula melahirkan kebimbangan walaupun pecahan aisberg gergasi itu dilaporkan tidak akan memberi kesan mendadak kepada paras air laut.

Ini kerana dianggarkan seberat lebih sejuta trilion tan aisberg sudah terapung sebelum pecah dan menurut saintis, tiada kesan segera ke atas paras air laut.

Namun menurut Ketua Projek Penyelidikan Antartika (MIDAS) yang juga pensyarah di Universiti Swansea, United Kingdom, Profesor Adrian Luckman dalam temuramah bersama akhbar dalam talian, USA Today, pecahan aisberg itu mengecilkan pentas ais terutama di seksyen Larsen C kepada 12 peratus.

Katanya, aisberg itu akan kekal sebagai sekeping ais raksasa, namun berpotensi untuk pecah kepada saiz lebih kecil.

“Sebahagiannya mungkin akan berada di kawasan yang sama selama berdekad, sementara bahagian lain akan hanyut ke bahagian utara iaitu ke kawasan perairan yang lebih panas,” katanya.

Selain mengubah bentuk muka bumi benua Antartika selama-lamanya, timbul persoalan apakah kesan sebenar yang bakal melanda Antartika dan planet bumi setelah berlakunya rekahan ais sebesar itu dalam tempoh jangka panjang?.

Saintis kini mengemukakan pelbagai berdasarkan kajian yang telah dijalankan bertahun lalu di pengkalan penyelidikan pelbagai lokasi di benua Antartika, selain pemerhatian dan usaha mengatasi pemanasan global.

Buat masa sekarang, kejadian terbaru di seksyen Larsen C itu memberi peringatan bahawa Antartika sedang berubah dengan pantas dan usaha untuk mengekang perubahan suhu global amat kritikal.

Walaupun mereka belum mahu mengaitkan kejadian itu dengan kesan daripada isu rumah hijau global, situasi sedemikian merupakan petanda aras kepada semua pihak agar meningkatkan pemantauan terhadap perubahan di Antartika.

Menurut saintis, rekahan pentas ais di kawasan kutub merupakan satu kejadian alam semula jadi yang biasa dan kadang-kala tidak ada kaitan rapat dengan kesan rumah hijau.

Bagaimanapun Luckman berkata, data yang dapat dikumpulkan saintis susulan rekahan gergasi itu adalah terhad memandangkan waktu gelap di Kutub Selatan lebih panjang dan kurangnya cahaya matahari.

“Tiada data optikal dari satelit dapat dikumpulkan kerana kurangnya cahaya matahari. Saintis hanya memperoleh imej radar daripada satu satelit yang mengorbit dengan menggunakan tenaga mikrowave.

“Tetapi imej itu tidak mendedahkan apa-apa. Cuma data yang diproses dengan cara tertentu membolehkan saintis menjejaki aisberg berkenaan,” katanya.